JOHOR BAHRU, 22 Okt (Bernama) -- Tindakan merobohkan 11 rumah setinggan di Kebun Teh, di sini, pada Rabu minggu lalu dilakukan selepas penempatan itu didapati dibina di atas tanah rizab kubur serta kawasan berisiko malaria.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Hairi Mad Shah berkata hasil siasatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut mendedahkan kebanyakan rumah berkenaan didiami warga asing dengan lebih 100 individu ditahan dalam operasi itu.
“Kita dapati mereka (pendatang) ini menyambung rumah sedikit demi sedikit hingga akhirnya membentuk satu penempatan besar di luar jangkaan,” katanya pada sidang media di lokasi rumah setinggan berkenaan, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.
Mohd Hairi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, berkata sebanyak 36 lagi rumah termasuk yang didiami warga tempatan akan dirobohkan dengan penghuni diberi tempoh 30 hari untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
Katanya keputusan itu diambil selepas perbincangan bersama wakil penduduk yang memohon lanjutan tempoh pengosongan kerana dua minggu yang diberi sebelum ini dianggap terlalu singkat.
“Kerajaan negeri komited mencapai sasaran Johor sifar setinggan melalui usaha penstrukturan semula dan pemindahan penduduk ke penempatan lebih selamat serta terancang,” katanya.
Beliau berkata tindakan perobohan turut membabitkan kawasan sekitar Larkin dengan sebanyak 1,422 rumah setinggan dikenal pasti untuk diambil tindakan, termasuk di Kampung Melayu Majidee, Taman Sinaran Kempas, Kebun Teh dan Kampung Sri Paya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial