AM > BERITA

Latihan TVET Akan Diperkenal Tingkat Kebolehpasaran Klien AADK

22/10/2025 07:57 PM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada kliennya mulai tahun hadapan, bagi meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan serta mengurangkan risiko penagihan semula.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata program itu, akan dimulakan dengan projek rintis di beberapa Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) menggunakan peruntukan awal sebanyak RM1 juta.

“Klien yang ditempatkan di PUSPEN menerima modul pemulihan dan rawatan, namun terdapat penyelidik dalam simposium yang berpendapat bahawa latihan TVET juga merupakan satu keperluan yang wajar dilaksanakan.

“Pada peringkat kerajaan, idea ini telah dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara dan ia telah dipersetujui,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2025, di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh.

Simposium sehari itu menghimpunkan lebih 1,000 penyelidik, penggubal dasar, penguat kuasa, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi membincangkan isu penagihan dadah serta perkongsian dapatan kajian, amalan terbaik dan kaedah rawatan pemulihan terkini bagi memperkukuh pencegahan, pemulihan dan dasar berasaskan bukti.

Saifuddin Nasution berkata program itu, akan memberi peluang kepada klien AADK memperoleh sijil kemahiran yang diiktiraf, sekali gus membolehkan mereka kembali ke pasaran kerja selepas menamatkan rawatan pemulihan.

“Seperti model latihan kemahiran yang dijalankan di institusi penjara, kita lihat pendekatan itu berjaya membantu mengurangkan kadar penagihan semula. Jadi, AADK akan ke arah itu juga dan pelaksanaannya dijangka bermula awal tahun depan,” katanya.

Selain TVET, beliau berkata simposium itu turut mengemukakan empat lagi resolusi termasuk pelaksanaan Pelan Komunikasi Antidadah berasaskan bukti, gerakan massa sebagai strategi nasional bersepadu mencapai Dadah Terkawal 2030, peluasan rawatan dan pemulihan secara sukarela serta penguatkuasaan berasaskan teknologi.

Saifuddin Nasution menegaskan resolusi tersebut akan dijadikan asas kepada penggubalan dasar baharu Kementerian Dalam Negeri (KDN), bagi memperkukuh pelan pencegahan dan pemulihan dadah negara.

“Dadah kekal menjadi ancaman dan soal memerangi dadah kekal sebagai keutamaan nombor satu. Kita tidak pernah mengundur daripada komitmen itu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan