AM > BERITA

Klinik Kesihatan Sungai Tamang Dibina Semula Menerusi Peruntukan Klinik Daif

22/10/2025 08:20 PM

TAWAU, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan peruntukan projek menaik taraf klinik daif bagi pembinaan semula Klinik Kesihatan Sungai Tamang, Pulau Sebatik di sini yang sepatutnya dilakukan di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pembinaan semula klinik itu akan melibatkan peruntukan kira-kira RM1.5 juta sebelum pertengahan tahun depan.

"Saya datang sendiri untuk memastikan (pembinaan klinik), tak boleh tunggu lagi, yang penting segera bangunkan dengan peruntukan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, masa pembinaan juga akan dilajukan.

"Klinik Kesihatan Sungai Tamang telah beroperasi sejak 1969 yang memberi manfaat kepada 25,000 penduduk. Kita akan terus menumpukan serta meningkatkan fasiliti khususnya di luar bandar, inilah yang dimaksudkan liputan kesihatan sejagat dengan tiada siapa dipinggirkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Klinik Desa Sungai Imam, Merotai di sini hari ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata antara penambahbaikan fasiliti klinik kesihatan di Pulau Sebatik termasuk keperluan membekalkan bot ambulans serta bot untuk kegunaan petugas KKM.

Sementara itu, beliau berkata Klinik Desa Sungai Imam yang dahulunya hampir roboh kini tersergam indah dan projek pembinaan semula fasiliti itu wajar dijadikan contoh kerana berjaya disiapkan tanpa kelewatan.

"Klinik ini sudah berwajah baharu, daripada bangunan kayu kepada bangunan konkrit. Bangunan lama dirobohkan pada 1 April 2024 dan klinik baharu yang dibina dengan peruntukan RM600,000 mula beroperasi pada 31 Dis 2024 dan memberi manfaat kepada 16,222 penduduk," katanya.

Dzulkefly berkata KKM sentiasa memberikan fokus kepada Sabah bagi meningkatkan pembangunan kesihatan negeri itu seiring dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963

"Ini kali ketujuh saya melawat fasiliti di Sabah pada tahun ini. Mutakhir, pada Ogos melawat daerah di pantai timur Sabah yang bermula dengan Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan akhir sekali Tawau," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan