KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Persidangan Buruh Antarabangsa (ILO) menyokong usaha Malaysia dalam memperkasa tenaga kerja melalui pembangunan kemahiran bagi memastikan negara kekal kompetitif dan inklusif menghadapi perubahan landskap dunia pekerjaan yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu.
Ketua Pengarah ILO Gilbert F. Houngbo berkata kemajuan teknologi telah merubah industri di seluruh dunia menjadikan pelaburan berterusan dalam peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) sebagai satu keperluan bagi kerajaan dan pihak industri.
“Dalam era AI ini, kita perlu memastikan teknologi berkhidmat untuk manusia bukan sebaliknya. ILO amat menitikberatkan aspek pembangunan kemahiran kerana ia satu-satunya cara untuk memastikan pekerja tidak ketinggalan dalam perubahan dunia pekerjaan,” katanya dalam temu bual eksklusif di sini hari ini.
Houngbo berkata pertubuhan itu sentiasa menyokong negara anggotanya, termasuk Malaysia dalam mengemaskini dasar berkaitan bentuk pekerjaan baharu muncul dan memastikan pekerjaan baharu yang wujud dalam sektor teknologi mengutamakan nilai maruah, perlindungan dan gaji yang setimpal untuk menyara hidup.
Beliau berkata ILO juga sedang membincangkan untuk kemungkinan merangka satu konvensyen antarabangsa mengenai ekonomi platform bagi mengimbangi inovasi dengan perlindungan ke atas pekerja, satu aspek yang Malaysia telah mengambil langkah proaktif menerusi perundangan.
“Kami sedang bekerjasama dengan negara anggota untuk memastikan bentuk pekerjaan baharu yang terhasil daripada teknologi ini disertai dengan dasar dan perlindungan yang sewajarnya. Matlamatnya adalah untuk memastikan pekerjaan baharu ini bermaruah, mampan dan mampu menyediakan kehidupan selesa bagi pekerja,” katanya.
Semasa lawatan pertama kali ke Malaysia itu, Houngbo juga menyertai Forum Kemahiran Global (GSF) 2025, yang disifatkan sebagai platform penting untuk tindakan bersama dalam memperkasa tenaga kerja, selain turut memuji Malaysia atas penganjuran forum itu dan menerajui keputusan ASEAN untuk mengisytiharkan 2025 sebagai “Tahun Kemahiran”, merupakan langkah tepat pada masa bagi kerjasama serantau.
Beliau berkata banyak ekonomi kini berdepan isu ketidakpadanan kemahiran, dengan sesetengah industri kekurangan tenaga kerja manakala sektor lain mencatat kadar pengangguran, sekali gus memperlihatkan keperluan kepada satu sistem pengiktirafan kemahiran lebih kukuh yang merentas negara sejajar dengan peningkatan mobiliti tenaga kerja.
“Masa depan pekerjaan bergantung kepada keupayaan untuk membina kemahiran yang betul untuk pekerjaan yang tepat. Pelaburan besar diperlukan dalam peningkatan kemahiran, latihan semula, malah dalam peralihan bidang kepakaran bagi mempersiapkan pekerja untuk ekonomi digital,” katanya.
Pada masa sama, Houngbo menekankan kepentingan kerjasama tiga pihak antara kerajaan, majikan dan pekerja dalam menangani cabaran tenaga kerja masa depan.
“Sektor swasta memainkan peranan paling penting namun semua pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing. Kerajaan perlu menetapkan hala tuju melalui dasar yang betul manakala majikan perlu merancang program latihan sepanjang hayat secara sistematik dan melabur dalam teknologi baharu,” katanya.
Beliau turut memuji model latihan berasaskan levi dilaksanakan Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) Malaysia, yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan menyifatkan ia sebagai pendekatan inovatif yang boleh dicontohi oleh negara lain.
Tambah beliau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu diberikan sokongan lebih kukuh bagi memastikan sebarang bentuk latihan mudah diakses dan mampan.
“PKS perlu diuruskan dengan lebih baik untuk menjadikan latihan mudah diakses. Oleh itu, kerajaan perlu membantu mereka dengan menyediakan insentif yang menggalakkan strategi mampan bukannya melaksanakan pendekatan jangka pendek yang mengabaikan latihan dan hak pekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Houngbo menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Sumber Manusia kerana sambutan dan layanan baik sepanjang lawatan beliau, selain turut kagum dengan kemajuan negara ini dan kerjasama sekian lama dengan ILO dalam menggalakkan pekerjaan yang bermaruah dan keadilan sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial