PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Mesyuarat mekanisme Troika ASEAN mengenai Myanmar akan berlangsung pada Jumaat ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata mesyuarat itu, yang dijadual diadakan pada sebelah petang, akan memfokus kepada perkembangan terkini di Myanmar dan usaha berterusan ASEAN ke arah mencapai penyelesaian aman, inklusif serta mampan kepada krisis politik yang berpanjangan di negara berkenaan.
“Saya akan memberi taklimat kepada rakan sejawat ASEAN mengenai situasi terkini di Myanmar,” katanya pada sesi taklimat khas media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam ini.
Mohamad berkata Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, telah mengadakan sesi libat urus sebanyak dua kali dengan pihak berkepentingan di Myanmar, masing-masing pada Februari dan Mei.
Beliau berkata sesi itu, termasuk rundingan secara mendalam dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, telah menekankan keperluan pelaksanaan gencatan senjata dengan segera dan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada komuniti terjejas di negara itu.
Mohamad juga berkata mesyuarat kedua mekanisme Troika ASEAN merupakan satu pencapaian penting kerana pihak berkepentingan di Myanmar telah mula berkomunikasi secara langsung buat pertama kali.
“Pada mulanya, mereka enggan berbincang tetapi pada mesyuarat kedua, mereka mula berinteraksi. Itu adalah satu kemajuan.
“Daripada pemerhatian saya, pihak junta kini kelihatan lebih terbuka untuk mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sekali gus menunjukkan kesediaan untuk berusaha ke arah pembentukan semula kerajaan yang dipilih secara demokratik,” katanya.
Mengulas mengenai pilihan raya umum Myanmar yang akan diadakan pada hujung tahun ini, Mohamad berkata pihak junta merancang untuk melaksanakannya dalam tiga fasa dengan lebih 5,000 calon berdaftar.
“Bagaimanapun, saya menegaskan bahawa pendirian ASEAN adalah pilihan raya itu mestilah adil, telus dan melibatkan penyertaan semua pihak.
“Berhubung isu pemerhati, walaupun jemputan sudah dihantar kepada negara anggota ASEAN dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, saya maklumkan kepada mereka bahawa kami akan membincangkan penyertaan secara kolektif dalam kalangan ASEAN,” katanya.
Troika ASEAN, yang diwujudkan pada 2023, dianggotai oleh Pengerusi semasa, terdahulu dan akan datang ASEAN, adalah bagi memastikan krisis Myanmar ditangani secara berterusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial