AM > BERITA

Modi Sertai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 Secara Dalam Talian - PM Anwar

23/10/2025 09:36 AM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 secara dalam talian berikutan perayaan Deepavali yang masih diraikan di negara itu ketika sidang berkenaan diadakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu ketika menerima panggilan telefon daripada Modi malam tadi.

“Saya menghormati keputusan tersebut dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada beliau serta seluruh rakyat India,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata beliau dan Modi turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh.

Beliau menegaskan bahawa India kekal sebagai rakan penting Malaysia dalam bidang perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama erat di sektor teknologi, pendidikan serta keselamatan serantau.

“Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan Malaysia-India serta meningkatkan kerjasama ASEAN-India ke arah mewujudkan rantau yang lebih aman dan makmur,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan dijangka berhimpun bagi membincangkan isu keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan