AM > BERITA

Perincian Syarat Selesai Pertikaian Thailand-Kemboja Dimuktamadkan Sehari, Dua Lagi - PM Anwar

23/10/2025 12:53 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Syarat terperinci bagi rundingan antara Thailand dan Kemboja dalam pertikaian sempadan dijangka dimuktamadkan dalam sehari atau dua hari lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata pemeteraian akhir rundingan dua negara itu akan disaksikan beliau dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

“Menteri Pertahanan Kemboja dan Thailand akan memuktamadkan syarat-syarat terperinci dan sekiranya disepakati dalam satu, dua hari ini, tandatangan ini (pemeteraian) akan disaksikan oleh saya dan Presiden Donald Trump yang turut mendukung penyelesaian ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai senarai pemimpin negara dan pertubuhan antarabangsa yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta pencapaian utama Kepengerusian ASEAN-Malaysia.

Anwar menyifatkan Malaysia sebagai mediator atau pengantara dalam konflik itu berjaya membantu dalam menyelesaikan pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand.

“Sepertimana saya maklumkan sebelum ini, rundingan bukan sahaja diadakan sekali, tetapi berulang kali termasuk pertemuan ketua-ketua pasukan tentera kedua-dua negara di Kuala Lumpur, diikuti mesyuarat Menteri Luar dan baru-baru ini Menteri Pertahanan kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri menegaskan Malaysia memainkan peranan penting dalam memperluas dan memperkukuh gencatan senjata di Myanmar dengan sokongan negara jiran terutamanya Thailand.

“Hasilnya, walaupun masih berlaku beberapa insiden tembakan, serangan dan penindasan terhadap kumpulan etnik seperti Karen, Arakan dan Rohingya kini beransur-ansur dihentikan.

“Buat pertama kalinya juga, kita dibenarkan menghantar bantuan kemanusiaan tanpa sekatan ke Myanmar,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Amirudin berhubung cadangan baharu kerangka kerja kepada ASEAN dalam merungkai kesan konflik serantau, Anwar berkata prinsip kepusatan (centrality) dan berkecuali (neutrality) perlu diteruskan oleh blok serantau itu.

Beliau berkata perlu ada penglibatan membina (constructive engagement) dan mengekalkan cara-cara perundingan dalam menguruskan konflik serantau.

“Sebab itu, bila berlaku isu antara Thailand dan Kemboja, kita terus mengambil inisiatif menghubungi mereka dan mereka menyambut. Kita mengajak mereka datang ke Kuala Lumpur dan akhirnya ada persetujuan,” katanya.

Anwar berkata ASEAN sebelum ini tidak terlalu menekankan tentang isu berkecuali dan lebih cenderung kepada kepusatan. 

Perdana Menteri berkata dalam soal Myanmar, beliau menggunakan saluran diplomatik dengan meminta kebenaran dan persetujuan daripada negara-negara ASEAN untuk memberikan ruang kepada beliau berbincang bersama Myanmar.

Neutrality ini maknanya seolah-olah tidak memihak sama sekali, tetapi centrality ini bermakna masih terus mengadakan hubungan dan interaksi, di samping itu masih boleh berusaha. Non-interference (prinsip tidak campur tangan) ini tidak bermakna tidak boleh engage ataupun berunding.

“Ini tidak dilakukan sebelumnya, kalau dilakukan pun tidak dengan kesepakatan ASEAN. Jadi bila saya tekankan hal-hal sebegitu, kemudian melaporkan kepada mereka, nampak mereka beri dukungan.

“Tetapi kita masih terikat dengan Konsensus Lima Perkara, maknanya mesti bebas, mesti menghormati hak semua dalam pemilihan raya dan juga tidak meneruskan agenda ketenteraan atau serangan terhadap negara atau kawasan minoriti,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan