KOTA KINABALU, 23 Okt (Bernama) -- Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) bagi jajaran Putatan ke Berungis, Tuaran dijangka memberi manfaat besar dan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat di sepanjang laluan berkenaan.
Projek LPB bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas malah menjimatkan masa perjalanan khususnya untuk pengguna dari pantai timur dan utara menuju ke Putatan serta pantai barat Sabah.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kolopis, Penampang Andrias Jubily berkata apabila pembinaan LPB siap sepenuhnya, tempoh perjalanan dari Kolopis ke Inanam yang mengambil masa kira-kira sejam dapat dikurangkan.
Beliau berkata pembinaan LPB tepat pada masa memandangkan kesesakan lalu lintas di Penampang semakin meruncing, selain dapat menjadi laluan alternatif kepada pengguna dari Putatan ke Tuaran tanpa memasuki bandar yang sering sesak terutama semasa musim cuti sekolah dan perayaan.
Sementara itu, Ketua Kampung Tindai Kolopis Verus Niun berkata penyiapan projek LPB dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan berharap aspek penyelenggaraan serta keselamatan menjadi keutamaan semua.
“Saya berharap penyelenggaraan jalan raya diteruskan kerana melibatkan aspek keselamatan. Pemandu dinasihatkan mengikut had laju ditetapkan kerana ini kawasan kampung. Ada pelajar sekolah dan haiwan melintas,” katanya.
Ketua Kampung Sarapung Kolopis Peter Jipiu berharap pembinaan LPB membantu menyelesaikan masalah setempat seperti banjir kilat yang sering melanda apabila hujan lebat berterusan antara dua hingga tiga jam, serta banjir besar yang berlaku beberapa kali setahun.
“Sekiranya sistem perparitan diperbaiki dan sungai dilebarkan, impak banjir boleh diminimumkan. Harapan kami apabila parit dan sungai lebih baik, kekerapan berlaku bencana itu dapat dikurangkan,” katanya.
Peter berkata pembinaan LPB menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan memberi kemudahan infrastruktur yang baik kepada rakyat.
Projek itu juga dilihat akan memudahkan urusan pekerjaan penduduk setempat di samping boleh membawa pelabur luar melakukan aktiviti ekonomi di situ.
Kampung Kolopis terletak di jajaran Jalan Lingkaran Luar Kota Kinabalu yang menghubungkan Ketiau, Putatan ke Berungis, Tuaran sepanjang 41.7 kilometer, yang merupakan sebahagian daripada pakej pembinaan LPB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial