PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Sistem e-TPS ataupun Electronic Tribunal Management System yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz hari ini bakal menjadi pemacu ketelusan serta inovasi digital dalam perkhidmatan awam.
Beliau berkata sistem itu dibangunkan bagi mendigitalkan proses pemfailan tuntutan selaras dengan fungsi Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) sebagai peneraju penyelesaian pertikaian pembeli rumah dan pengurusan strata.
“Inisiatif ini menyokong prinsip Telus Tadbiran dan Apresiasi Inovasi di bawah nilai teras H.E.M.A.T., sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan kos efektif,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata demikian sempena Program Bicara Aspirasi H.E.M.A.T. anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib, pengurusan tertinggi KPKT, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan ketua-ketua jabatan.
Beliau berkata e-TPS akan menjadi satu anjakan besar dalam cara rakyat berurusan dengan kerajaan apabila proses pemfailan tuntutan dan aduan kini boleh dilakukan secara dalam talian.
“Berbeza sebelum ini apabila pelanggan perlu menghantar borang secara manual di kaunter berkaitan, kini urusan dengan KPKT boleh dilakukan terus melalui portal yang disediakan. Ini jelas menunjukkan bahawa berlaku anjakan dari segi mudahnya rakyat berurusan dengan kerajaan berbanding dahulu.
“Inilah yang kami cuba perbanyakkan dalam perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan insya-Allah saya percaya selepas ini akan ada satu demi satu inisiatif-inisiatif yang boleh memberikan kemudahan kepada rakyat serta menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan keperluan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan dalam ucapannya berkata pelaksanaan H.E.M.A.T. bukan sekadar inisiatif nilai tetapi teras penting dalam membentuk budaya kerja penjawat awam yang berdaya saing, berintegriti dan berjiwa rakyat.
“H.E.M.A.T. bukan sekadar slogan tetapi cara fikir baharu yang menuntut pegawai awam bekerja dengan hati dan berfikir dengan nilai,” katanya.
Bicara Aspirasi H.E.M.A.T. memberi penekanan kepada lima nilai teras digagaskan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam iaitu Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran sebagai panduan meningkatkan kecekapan, prestasi serta daya saing organisasi menghadapi cabaran global yang kompleks.
Program hari ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta termasuk secara dalam talian, terdiri daripada pegawai awam pelbagai kementerian, agensi dan PBT antaranya JPA, Institut Tadbiran Awam Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Perbadanan Putrajaya serta beberapa majlis bandar raya dan perbandaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial