AM > BERITA

Yang Dipertuan Muda Terengganu Mahu MAIDAM Perkukuh Urus Tadbir Wakaf

23/10/2025 03:16 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) diseru untuk terus memperkukuh tadbir urus wakaf dengan penuh amanah dan profesional.

Seruan itu dinyatakan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, yang mahu projek-projek wakaf di negeri ini dirancang secara lestari, berpaksikan maqasid syariah, serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Titah baginda, ibadah wakaf merupakan amal jariah paling mulia dan telah menjadi warisan tamadun Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W.

"Beta menyanjung tinggi usaha MAIDAM yang telah melahirkan pelbagai inisiatif inovatif dalam pengurusan dan pembangunan tanah wakaf serta wakaf tunai melalui pelbagai saluran, termasuk potongan gaji.

"Usaha-usaha ini membuktikan kesungguhan MAIDAM untuk menghidupkan kembali semangat wakaf sebagai teras kekuatan ekonomi dan sosial umat Islam," titah baginda ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Terengganu 2025 di sini, hari ini.

Turut berangkat Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az Sultan Mizan, diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada masa sama, Tengku Muhammad Ismail menegaskan bahawa tanggungjawab mengembangkan wakaf bukan terletak semata-mata pada pentadbir agama, tetapi memerlukan penglibatan golongan pemimpin, ahli korporat, usahawan, dan masyarakat awam.

Menurut baginda, penganjuran program Bulan Wakaf perlu dijadikan platform kesedaran dan kebangkitan baharu bagi umat Islam menunaikan wakaf sebagai satu pelaburan akhirat dan tanda cinta kepada negeri serta negara.

"Sekecil mana pun sumbangan, ia akan menjadi pelaburan yang memberi manfaat berkekalan. Beta berdoa semoga usaha MAIDAM memakmurkan institusi wakaf diberkati dan menjadi contoh terbaik dalam pengurusan wakaf di Malaysia," titah baginda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan