KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Perwakilan Tetap (CPR) ke ASEAN hari ini membincangkan langkah-langkah bagi mempercepat pemuktamadan dokumen Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) menjelang mesyuaratnya pada 27 Okt bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Datin Sarah Nava Rani Al Bakri Devadasan berkata perbincangan CPR itu menumpukan kepada persiapan kenyataan rasmi dan dokumen yang akan diterima pakai para pemimpin semasa sidang kemuncak EAS berkenaan.
“Ia belum dimuktamadkan lagi kerana perbincangan masih berjalan. Ia merangkumi fungsi bidang kerjasama seperti pelan kerja Inisiatif Integrasi ASEAN (IAI) dan yang seumpamanya.
“Ia sebahagian daripada proses libat urus berkala dengan rakan dialog termasuk New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat,” katanya kepada pemberita di luar mesyuarat berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Sarah Nava Rani berkata mesyuarat itu juga sebahagian tanggungjawab rutin Malaysia selaku pengerusi untuk memantau kerja-kerja yang sedang dilaksaksanakan CPR di Jakarta dan memastikan semua persiapan berjalan lancar sebelum sesi pertemuan para pemimpin.
Mesyuarat tertutup yang dipengerusikan oleh Sarah Nava Rani itu turut dihadiri wakil tetap dari negara anggota ASEAN, termasuk Latifah Zaini (Brunei), Heng Sarith (Kemboja), M.I. Derry Aman (Indonesia), Sitsangkhom Sisaketh (Laos), Aung Myo Myint (Myanmar), Evangeline T. Ong Jimenez-Ducrocq (Filipina), Gerard Ho (Singapura), Suwit Mangkhala (Thailand) dan Dr Ton Thi Ngoc Huong (Vietnam).
CPR yang ditubuhkan pada 2009 di bawah Piagam ASEAN menyokong kerja Majlis Komuniti ASEAN, bekerjasama dengan Setiausaha Agung dan Sekretariat ASEAN, dan berperanan sebagai pemudah cara kerjasama dengan rakan dialog.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial