AM > BERITA

Sidang Kemuncak ASEAN Bina Hubungan Lebih Erat Dengan Anggota CPTPP Menjelang Dialog Pada November

23/10/2025 07:34 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka memberi laluan kepada kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menjelang dialog rasmi ASEAN dan CPTPP pada 20 Nov 2025.

Profesor dari Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata sidang kemuncak itu dijangka memperkukuh kemajuan CPTPP dengan menggalakkan lebih banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara ASEAN dan negara anggota CPTPP, membuka ruang kepada kerjasama yang lebih baik antara kedua-dua pihak.

“Kerjasama antara negara anggota ASEAN dan CPTPP boleh diperkukuh dan menjadi pemudah cara jika mereka terlibat dalam FTA secara langsung antara satu sama lain, selain kerjasama rasmi antara kedua-dua blok tersebut,” katanya kepada Bernama.

CPTPP ialah FTA yang ditandatangani oleh 12 negara, terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, United Kingdom dan Vietnam.

Empat negara anggota ASEAN -- Brunei, Malaysia, Singapura dan Vietnam -- merupakan anggota CPTPP.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan menetapkan hala tuju ASEAN dalam CPTPP.

Beliau berkata di bawah kepengerusian Australia bagi CPTPP tahun ini, perbincangan telah bermula untuk menjajarkan peraturan CPTPP dengan rangka kerja perdagangan ASEAN.

 Mesyuarat peringkat menteri bagi CPTPP, yang diadakan di Jeju, Korea Selatan pada Mei 2025, di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), mengesahkan pelan untuk melancarkan dialog berstruktur ASEAN-CPTPP.

Keputusan ASEAN untuk mengadakan dialog rasmi kemudiannya disahkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) di Kuala Lumpur pada September 2025.

Sementara itu, Kemboja dan Filipina telah memulakan kajian daya maju untuk kemungkinan penyertaan mereka.

“Para pemimpin dijangka mengesahkan Dialog Pegawai Kanan ASEAN-CPTPP pada 20 November sebagai antara keberhasilan utama sidang kemuncak tersebut, meneruskan kerjasama baharu dengan negara anggota CPTPP dan memberi isyarat sokongan kepada anggota baharu yang bakal menyertai pada masa depan seperti Indonesia,” katanya.

“Perbincangan di luar sidang rasmi, terutamanya dalam kalangan negara anggota seperti Malaysia dan Vietnam, mungkin akan menumpukan kepada kerjasama praktikal dalam bidang seperti perdagangan digital, peralihan hijau dan pengurangan halangan bukan tarif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata empat negara anggota ASEAN — Malaysia, Singapura, Vietnam dan Brunei Darussalam —  juga merupakan anggota CPTPP dan dialog rasmi akan mewujudkan saluran yang sesuai untuk menjemput negara bukan anggota CPTPP lain di ASEAN untuk menjadi anggota baharu.

“Beberapa negara anggota CPTPP juga adalah anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Pada dasarnya, dialog rasmi ini menghantar isyarat yang jelas mengenai aspirasi untuk menggalakkan perdagangan antarabangsa serta usaha untuk mengkaji semula dan memperbaharu rangka kerja sedia ada untuk memudah cara integrasi global.

“Ini amat penting kerana dasar perlindungan semakin meluas, yang memberi impak ketara kepada rantaian bekalan global.

“Oleh itu, menjadi keperluan strategik untuk kerajaan di seluruh dunia mencari rakan yang lebih mesra dan konstruktif dalam menjalankan perniagaan bersama,” katanya.

Mohd Afzanizam berpendapat bahawa dialog ini akan membuka lebih banyak perbincangan, terutamanya mengenai kebimbangan dalam kalangan negara bukan anggota CPTPP dalam ASEAN.

“Saya berpendapat satu bidang yang benar-benar menonjol ialah teknologi, terutamanya dengan wujudnya e-dagang dan Kecerdasan Buatan (AI).

“Selain itu, agenda ekonomi hijau dan kemampanan boleh menjadi kepentingan bersama yang dipersetujui  semua pihak berkaitan matlamat pelepasan karbon sifar bersih,” katanya.

CPTPP terdiri daripada negara anggota dengan gabungan KDNK kira-kira US$15.8 trilion (US$1 = RM4.22), menyumbang 14.4 peratus daripada jumlah KDNK dunia.

Perjanjian itu meliputi populasi kira-kira 593.2 juta orang, menjadikannya antara blok perdagangan terbesar dan paling penting di dunia. 

Malaysia, yang memegang jawatan pengerusi ASEAN pada tahun ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ini kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Filipina akan mengambil alih peranan sebagai pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 2026.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan