KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Perak, Kedah dan Pulau Pinang meningkat dengan keseluruhan 4,252 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), petang ini.
Di PERAK, jumlah mangsa meningkat kepada 2,496 orang melibatkan 857 keluarga berbanding 2,171 orang pada 8 pagi tadi, dengan Kerian dan Perak Tengah menjadi daerah terbaru dilanda bencana itu, setakat 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan masing-masing sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Dew di Kerian dan Sekolah Menengah Layang-Layang Kiri Parit di Perak Tengah, menjadikan keseluruhan 24 PPS beroperasi di negeri itu.
Menurut sekretariat, dua PPS berkenaan menempatkan 183 mangsa.
Selain itu, 1,813 mangsa ditempatkan di 19 PPS di daerah Larut Matang dan Selama manakala 500 mangsa lagi berada di tiga PPS di daerah Manjung.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,007 orang setakat 5 petang berbanding 258 orang, pagi tadi.
JPBN Kedah memaklumkan empat PPS baharu dibuka di Kulim, menjadikan tujuh PPS kini beroperasi menempatkan 955 mangsa manakala di Kuala Muda, jumlah mangsa di sebuah PPS kekal 52 sejak dibuka Rabu lepas.
Di PULAU PINANG, sebanyak lapan PPS dibuka menempatkan 749 mangsa yang terjejas di tiga daerah.
Menurut laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 4.30 petang tadi, sebanyak 606 orang ditempatkan di tiga PPS di daerah Seberang Perai Utara, 121 mangsa berada di empat PPS di daerah Seberang Perai Tengah manakala satu-satunya PPS di bahagian pulau iaitu di daerah Barat Daya menempatkan 22 mangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial