AM > BERITA

Visi Ekonomi ASEAN Terus Utuh Dengan Pengukuhan Hubungan Ekonomi Serantau - Mohamad

25/10/2025 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Visi ekonomi kolektif ASEAN kekal utuh, berasaskan kerjasama serantau yang memperdalam integrasi, memperkukuh rantaian bekalan dan menarik pelaburan global, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam ucapan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata kemajuan ekonomi badan serantau itu mencerminkan komitmen bersama terhadap daya tahan dan pertumbuhan inklusif.

“Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), terus memperdalam integrasi, memperkukuh rantaian bekalan dan menarik pelaburan global.

“Pada masa yang sama, kita akan terus mempelbagaikan perkongsian, memperluas hubungan dengan India, Australia, Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Usaha ini seterusnya akan meningkatkan autonomi strategik kolektif ASEAN,” katanya.

Mohamad berkata kedudukan ASEAN sebagai “penghubung strategik Timur–Barat” turut diperkukuh menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China pada Mei lepas, yang mencerminkan pengaruh global badan serantau itu yang semakin meningkat.

Beliau berkata kekuatan bersama dan reputasi ASEAN sebagai rakan yang dipercayai kini semakin diiktiraf di seluruh dunia.

“Di seluruh dunia, kekuatan kolektif kita semakin mendapat pengiktirafan kerana negara ASEAN berdiri dan bergerak bersama,” katanya.

Mohamad berkata Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia memberikan tumpuan terhadap inisiatif yang menggalakkan daya tahan ekonomi, transformasi digital dan pembangunan mampan di seluruh rantau ini.

Beliau berkata agenda ekonomi berterusan blok berkenaan termasuk usaha untuk memajukan peralihan hijau, pembiayaan mampan dan ekonomi digital sebagai sebahagian daripada pelan tindakan jangka panjang.

Kepimpinan Malaysia dalam badan serantau ini juga kata Mohamad, telah memperkukuh peranan ASEAN sebagai pusat dialog dan kerjasama ekonomi yang dihormati pada peringkat antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa ASEAN perlu terus mengekalkan perpaduan dan kepusatan untuk melindungi autonomi strategik serta mengelak perpecahan di tengah-tengah dinamik global yang berubah.

AMM ialah sebahagian daripada beberapa mesyuarat yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula esok hingga 28 Okt.

Sidang kemuncak berkenaan menghimpunkan pemimpin serantau untuk membincangkan isu utama politik, ekonomi dan keselamatan di bawah Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan