AM > BERITA

ASEAN Perlu Tangani Jurang Ekonomi, Perbezaan Pendidikan - Gita Wirjawan

25/10/2025 05:01 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu menangani jurang ekonomi dan perbezaan pendidikan yang semakin meluas untuk mengekalkan kepusatan rantau ini dalam landskap global yang berpecah-belah, kata rakan pengasas dan pengerusi Ikhlas Capital Gita Wirjawan hari ini.

Beliau berkata walaupun penduduk Asia Tenggara komited untuk memperkaya kepusatan ASEAN, rantau ini berdepan jurang yang semakin meningkat dalam pendapatan dan pendidikan yang mengancam perpaduan jangka panjangnya.

Menurut Gita beberapa negara anggota masih mencatatkan pendapatan per kapita di bawah USD2,000 (USD1 = RM4.20), manakala sebuah negara melebihi USD90,000, mencerminkan ketidaksamaan struktur yang mendalam yang mesti ditangani secara kolektif.

"Kita bermegah tentang kepelbagaian, yang berkonotasi positif, tetapi perbezaan berkonotasi negatif. Terdapat beberapa negara di Asia Tenggara yang berpendapatan kurang daripada USD2,000 per kapita setahun dan sebuah negara yang memperoleh lebih daripada USD90,000 per kapita setahun.

"Indonesia hanya pada USD5,000 manakala Malaysia hampir USD13,000. Ia masih belum menembusi ambang kemodenan," kata bekas menteri perdagangan Indonesia itu.

Beliau berkata demikian pada sesi panel "Strengthening ASEAN Centrality in a Time of Geo-economic Fragmentation” (memperkukuh kepusatan ASEAN dalam era perpecahan geoekonomi) pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2025 di sini hari ini.

Gita berpendapat bahawa jurang ekonomi ASEAN dicerminkan pada hasil pendidikannya, dengan hanya Singapura dan Vietnam melepasi purata global dalam skor Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) manakala yang lain ketinggalan.

PISA merupakan program global melibatkan kira-kira 600,000 pelajar berusia 15 tahun dari negara berbeza yang diletakkan dalam ujian selama dua jam untuk mengukur kemahiran dan pengetahuan mereka terutamanya dalam sains, membaca dan matematik.

Soalan ujian PISA tidak mengukur hafalan fakta tetapi menuntut pelajar menggunakan kemahiran dan pengetahuan penyelesaian masalah dunia sebenar.

Gita juga menyeru ASEAN mempertimbangkan semula prinsip tidak campur tangan yang sekian lama diamalkan badan itu, menyatakan bahawa campur tangan yang terhad dengan tujuan tertentu mampu membantu merapatkan jurang dalam pencapaian pendidikan.

"Tidak campur tangan itu indah, tetapi saya fikir campur tangan, hanya untuk tujuan penumpuan pencapaian pendidikan adalah penting," ujar Gita.

Beliau mencadangkan agar ASEAN mencontohi sistem pendidikan Singapura sebagai penanda aras serantau, disesuaikan dengan konteks dan garis masa setiap negara, untuk membina modal insan dan daya saing jangka panjang.

"Singapura telah membuktikan dirinya sebagai atlet yang hebat dalam pendidikan di peringkat rendah/menengah dan pengajian tinggi. Universiti mereka berada dalam 20 terbaik dan markah PISA mereka baru sahaja mengalahkan China, mereka nombor satu di dunia," katanya.

Beliau berkata jika isu-isu struktur berkenaan tidak ditangani, ASEAN berisiko untuk kekal terperangkap dalam isyarat simbolik berbanding mencapai kemajuan bermakna.

“Jika kita tidak menangani perkara itu, kita tidak akan dapat merealisasikan apa yang kita cita-citakan. Kita hanya akan terus melakukan ‘jabat tangan’ ASEAN dan tidak boleh mengatakan kita telah berjaya melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata ASEAN mesti mengukuhkan kedudukannya dengan kekal sebagai pusat dalam rantaian bekalan global, mengekalkan diplomasi jalan tengah serta membina kelas pertengahan yang kukuh untuk memastikan kestabilan sosial dan daya tahan ekonomi.

Beliau berkata peranan ASEAN sebagai kuasa pertengahan mesti dipelihara menerusi penglibatan yang seimbang dengan Amerika Syarikat dan China.

Liew turut menegaskan bahawa tanpa usaha untuk mengukuhkan kelas pertengahan, ASEAN boleh berdepan tekanan sosial yang semakin meningkat, termasuk rasa tidak puas hati generasi dan berisiko kehilangan peluang demografinya.

Beliau menambah bahawa mewujudkan pekerjaan yang lebih baik, memupuk mobiliti sosial dan memastikan rantau itu "menjadi kaya sebelum ia menjadi tua" adalah penting untuk mengekalkan kestabilan dan kemakmuran jangka panjang ASEAN.

Sidang kemuncak ABIS selama dua hari yang bermula hari ini dihoskan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dengan tema “Unifying Markets For Shared Prosperity" (menyatukan pasaran untuk kemakmuran bersama).

Sidang kemuncak itu dianjurkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan