AM > BERITA

Usaha Keselamatan Ekonomi Tokyo Perkukuh Kerjasama Semikonduktor, AI Dengan Malaysia, ASEAN

25/10/2025 02:28 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Jepun bakal memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dan ASEAN dalam industri strategik seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata berkata langkah itu mencerminkan tumpuan semula Tokyo kepada keselamatan ekonomi dan pelaburan teknologi bernilai tinggi menerusi pentadbiran di bawah Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi.

“Kami sangat berminat untuk meningkatkan kerjasama industri dalam sektor strategik seperti semikonduktor, AI atau nadir bumi...Takaichi sebelum ini pernah berkhidmat sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan ekonomi,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Malaysia, menerajui ASEAN sebagai pengerusi tahun ini dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, akan menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak itu dari Ahad hingga Selasa ini, dengan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China dan Jepun.

Shikata berkata demikian bagi mengulas berita baru-baru ini yang melaporkan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai berkata ASEAN mahu Jepun melakukan peranan lebih besar dalam pemindahan teknologi dan pelaburan bahagian hadapan semikonduktor.

Takaichi, 64 tahun, mencipta sejarah sebagai wanita pertama menjadi Perdana Menteri Jepun selepas memperoleh 237 undi daripada 465 kerusi Dewan Rendah, sekali gus memenangi undian Parlimen tanpa memerlukan pusingan kedua.

Beliau akan berlepas ke Kuala Lumpur hari ini (Sabtu) bagi menghadiri mesyuarat berkaitan ASEAN dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya yang juga Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Duta Besar itu berkata kerjasama tersebut sejajar dengan rangka kerja perundangan ekonomi-keselamatan baharu Jepun yang menekankan perlindungan teknologi penting dan hak harta intelek.

“Selama lebih empat dekad, syarikat Jepun telah memindahkan teknologi ke Malaysia -- daripada sokongan awal Mitsubishi Motors kepada Proton hingga usaha sama Daihatsu dengan Perodua -- yang mewujudkan pekerjaan tempatan berkemahiran tinggi dan kapasiti perindustrian jangka masa panjang,” katanya.

Mengenai peranan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor, Shikata berkata Pulau Pinang sebagai ‘Lembah Silikon Timur’ mendorong pelaburan Jepun yang berterusan di negeri itu di samping ROHM Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd, pengembangan operasi pembuat elektronik utama Jepun itu di Kelantan.

Shikata berkata ramai rakyat Malaysia yang pernah menuntut di Jepun kini menyumbang kepada universiti dan industri tempatan sekali gus menyerlahkan hubungan teknologi dan modal insan yang kukuh antara kedua-dua negara.

Selain itu, beliau berkata peralihan hijau dan keterjaminan tenaga merupakan tonggak pertumbuhan dua hala seterusnya, dengan Malaysia muncul sebagai model ideal berlandaskan Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC).

Daripada hampir 20 memorandum persefahaman yang dimeterai baru-baru ini antara Jepun dan ASEAN, kira-kira satu pertiga melibatkan Malaysia -- termasuk projek biojisim daripada sisa sawit, penjanaan tenaga melalui pembakaran ammonia dan inisiatif pemerangkapan karbon -- memajukan objektif AZEC iaitu penyahkarbonan serentak, pertumbuhan ekonomi dan keterjaminan tenaga.

Shikata berkata Jepun dan Malaysia sedang memuktamadkan Mekanisme Kredit Bersama (JCM) untuk memudahkan pelaburan hijau oleh syarikat Jepun dan memastikan bekalan tenaga yang stabil antara kedua-dua negara.

“Bidang yang berpotensi menarik lebih banyak pelaburan meliputi pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), penjanaan tenaga melalui pembakaran ammonia, Grid Tenaga ASEAN serta loji gas asli cecair (LNG) Petronas-Mitsubishi,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan hasrat Jepun yang lebih besar untuk bersama-sama membentuk ekonomi masa depan dengan ASEAN di bawah kepengerusian oleh Malaysia.

“Mesej utama Perdana Menteri Takaichi kepada ASEAN ialah Jepun dan ASEAN mesti menjadi lebih kuat dan makmur bersama,” katanya.

Shikata berkata kerjasama yang sedang berkembang dalam penyelesaian mobiliti bandar dipacu AI termasuk aplikasi “Mobi” yang dibangunkan Jepun telah diuji di Bukit Bintang dan Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur bagi mengurangkan kesesakan melalui perkongsian perjalanan.

Jepun berharap dapat memperluas model bandar pintar sedemikian ke bahagian lain di Malaysia dan seluruh ASEAN, melengkapkan visi Kota MADANI oleh kerajaan yang menekankan pembangunan bandar lestari dan berorientasi rakyat, katanya.

Perkhidmatan Mobi, yang dilancarkan pada September 2025 oleh syarikat Jepun NADI WILLER dengan perkongsian bersama-sama LaLaport BBCC, menyediakan mobiliti atas permintaan sebagai satu perkhidmatan (MaaS) menggunakan kumpulan van dan bas ulang-alik, bertujuan merapatkan jurang kesalinghubungan peringkat akhir untuk pengulang-alik.

Beliau berkata Jepun melihat Malaysia sebagai rakan yang boleh dipercayai dan strategik dalam memacu pertumbuhan mampan dan didorong inovasi di rantau ini.

“Bersama-sama ASEAN, kami bertekad untuk membentuk ekonomi dan masyarakat masa depan secara bersama,” katanya.

Jepun kekal sebagai antara pelabur dan rakan dagang terbesar ASEAN, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$236.4 bilion tahun lepas, manakala pelaburan langsung asing Jepun ke ASEAN bernilai hampir US$18 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan