Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Fokus baharu Jepun terhadap kerjasama dalam bidang semikonduktor dan teknologi di bawah kepimpinan baharunya akan membentuk semula rantaian bekalan serantau dan memacu pelaburan di ASEAN terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia, kata ahli ekonomi.
Pengasas dan Pengarah Williams Business Consultancy Sdn Bhd Geoffrey Williams berkata penglibatan Jepun yang lebih kukuh dalam kerjasama teknologi serantau amat dialu-alukan dan berpotensi membawa manfaat ekonomi yang besar dalam bidang seperti E&E, semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
“Langkah Jepun mengambil peranan yang lebih besar dalam pemindahan teknologi serantau adalah dialu-alukan yang akan memberi impak ekonomi positif kepada ASEAN dan Malaysia dalam E&E, semikonduktor dan AI,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas laporan berita baru-baru ini yang memetik Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai berkata bahawa ASEAN mahu Jepun memainkan peranan yang lebih besar dalam pemindahan teknologi dan pelaburan semikonduktor peringkat awal.
Mohamad membuat kenyataan tersebut menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Acara itu merupakan lawatan antarabangsa pertama Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi, dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur malam ini untuk menghadiri mesyuarat berkaitan ASEAN dan mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Malaysia dan Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Williams berkata Malaysia dan Jepun berkongsi sejarah panjang dalam kerjasama industri yang boleh dimanfaatkan untuk usaha sama baharu, pelaburan langsung asing (FDI) dan pemindahan teknologi.
Katanya langkah domestik Jepun untuk menggiatkan semula industri semikonduktor dan AI juga sejajar dengan matlamat ASEAN untuk memperkukuh kesalinghubungan dan inovasi digital, mewujudkan kitaran pertumbuhan yang saling mengukuhkan.
“Bagi Jepun, ini akan turut memberi manfaat untuk meningkatkan kehadiran teknologi serantau dan global mereka dalam bidang utama seperti AI, semikonduktor dan E&E,” katanya.
Selain semikonduktor, Williams berkata kekuatan teknologi Jepun meliputi pelbagai sektor bernilai tinggi yang boleh membentuk fasa kerjasama seterusnya dengan ASEAN.
“Jepun terkenal dengan teknologi terkininya dalam bidang seperti robotik dan elektronik pengguna serta terus menjadi peneraju dalam inovasi, terutamanya dalam pengangkutan, aeroangkasa dan bidang khusus seperti penjagaan kesihatan termaju dan robotik untuk populasi menua.
“Semua ini merupakan bidang kerjasama yang berpotensi tetapi ia memerlukan dasar yang stabil untuk memastikan hasil dalam tempoh jangka panjang,” katanya.
Dilaporkan bahawa Takaichi mengumumkan kerajaannya sedang menyediakan pakej rangsangan bernilai lebih US$92.19 bilion (USD1 = 4.22) dibina berdasarkan tiga tonggak: menangani inflasi, melabur dalam industri mencatatkan pertumbuhan dan memperkukuh keselamatan negara.
Pakej itu akan turut merangkumi pelaburan dalam sektor mencatatkan pertumbuhan seperti kecerdasan buatan dan semikonduktor berikutan kerajaan tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi strategik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial