Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Lonjakan kes jenayah di sekolah, termasuk insiden tragis seorang remaja perempuan maut ditikam rakan sekelasnya baru-baru ini, menjadi isyarat amaran serius kepada masyarakat.
Ia sekali gus mencetuskan gesaan agar Malaysia mempertimbangkan had umur minimum penggunaan telefon pintar dan media sosial kepada golongan bawah 16 tahun.
Kejadian seumpama itu bukanlah kes terpencil, sebaliknya mencerminkan peningkatan membimbangkan tingkah laku ganas dalam kalangan pelajar, golongan yang sepatutnya paling dilindungi dalam persekitaran sekolah yang dianggap sebagai tempat selamat.
Fenomena peningkatan ini menegaskan bahawa langkah segera perlu diambil memandangkan pendedahan digital tanpa kawalan semakin dikaitkan dengan masalah disiplin, normalisasi keganasan, buli siber serta krisis kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan remaja.
Pada mesyuarat Kabinet pada 17 Okt lepas, kerajaan mencadangkan tiga langkah bagi menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar berumur 16 tahun ke bawah, bagi mengekang masalah disiplin serta mengurangkan pengaruh media sosial dan permainan dalam talian yang sering dikaitkan dengan buli serta jenayah.
Walaupun cadangan itu disambut baik oleh kebanyakan ahli akademik dan ibu bapa, penganalisis dasar awam Dr Tricia Yeoh menegaskan bahawa kedua-dua langkah, iaitu larangan tersebut dan cadangan menaikkan umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun, perlu diperhalusi dengan lebih mendalam, khususnya dari aspek privasi pengguna.
“Saya percaya ‘usia dewasa Internet’ wajar dinaikkan kepada 16 tahun, bermaksud kanak-kanak di bawah umur itu tidak sepatutnya dibenarkan mengakses semua kandungan di Internet kerana terdapat banyak ruang gelap berbahaya termasuk bahan lucah tegar.
“Langkah kerajaan menaikkan had umur penggunaan media sosial kepada 16 tahun adalah tepat, namun ia mesti dilaksanakan tanpa menjejaskan privasi pengguna. Saya difahamkan terdapat cara menyekat akses media sosial kepada bawah umur tanpa menggunakan pengesahan identiti elektronik (eKYC), dan ini adalah pendekatan yang betul,” katanya kepada Bernama.
Yeoh, yang juga Profesor Madya Amalan di University of Nottingham Malaysia, berkata antara pendekatan yang boleh digunakan ialah teknologi ‘zero-knowledge proof’, iaitu kaedah perlindungan privasi yang sudah digunakan secara meluas dalam industri, bagi menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun media sosial tanpa perlu menyerahkan data pengenalan diri.
Katanya, walaupun lebih banyak kajian diperlukan di Malaysia untuk menentukan sama ada wujud kaitan langsung antara penggunaan telefon pintar dengan penyakit mental atau kemurungan, penemuan oleh ahli psikologi sosial Amerika Syarikat Prof Jonathan Haidt boleh dijadikan rujukan.
“Dalam bukunya The Anxious Generation, Haidt mengaitkan peningkatan mendadak kadar kemurungan dan keresahan dalam kalangan remaja lelaki dan perempuan antara 2010 hingga 2020 dengan penggunaan telefon pintar secara meluas.
“Antara kesan yang dikenal pasti hasil penggunaan telefon pintar secara berlebihan ialah kekurangan interaksi sosial, gangguan tidur, gangguan tumpuan serta ketagihan digital,” katanya.
Yeoh menambah, walaupun cadangan larangan itu merupakan langkah pertama yang penting, perbahasan lebih luas mengenai sekatan telefon pintar dan had umur media sosial menggambarkan hakikat bahawa tanggungjawab melindungi kanak-kanak di era digital tidak boleh diletakkan di bahu ibu bapa semata-mata.
Beliau menekankan bahawa perubahan bermakna memerlukan tindakan bersepadu melibatkan kerajaan, industri, sekolah dan keluarga, dengan menekankan akauntabiliti, pendidikan serta tanggungjawab bersama.
“Jika ibu bapa, pendidik, pembuat dasar dan syarikat teknologi memainkan peranan masing-masing, kita boleh mewujudkan norma sosial dan digital yang lebih sihat serta persekitaran lebih selamat untuk generasi muda,” katanya.
Sementara menunggu pelaksanaan cadangan larangan itu, Yeoh mencadangkan supaya diwujudkan ‘piagam ibu bapa’ di peringkat nasional bagi menangguhkan pemberian telefon pintar kepada anak-anak sehingga berumur 16 tahun, selain memperkenalkan ‘pod talian tetap’ sebagai alternatif komunikasi antara rakan sebaya.
“Kerajaan boleh mengeluarkan garis panduan untuk diikuti ibu bapa, namun keputusan akhir tetap di tangan mereka. Garis panduan itu boleh memasukkan sekatan pemberian telefon pintar kepada kanak-kanak bawah 16 tahun.
“Jika semua ibu bapa secara kolektif bersetuju untuk tidak memberikan telefon pintar kepada anak-anak di bawah umur tersebut, tekanan sosial dalam kalangan mereka juga dapat dikurangkan. Namun usaha ini memerlukan komitmen bersama masyarakat dan semoga tragedi minggu lalu menjadi isyarat amaran kepada semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, pakar psikologi klinikal dan pengasas pertubuhan kesihatan mental bukan berasaskan keuntungan Relate Malaysia Dr Chua Sook Ning, turut menggesa kerajaan meneliti perkara itu dengan lebih mendalam.
Beliau berkata sekatan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah 16 tahun tidak boleh lagi ditangguhkan, memandangkan kajian terdahulu menunjukkan kaitan antara penggunaan media sosial secara berlebihan dengan peningkatan risiko masalah kesihatan mental.
Chua berkata ibu bapa memerlukan bantuan berbentuk program latihan yang membekalkan strategi sesuai dalam mengawal penggunaan peranti digital, menetapkan kawalan ibu bapa dan penapis kandungan, serta berkomunikasi lebih awal dengan anak-anak mengenai penggunaan teknologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial