Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu mengukuhkan keterjaminan makanan dan tenaga serta keselamatan digital sambil membina kapasiti institusi untuk meramal dan mengurangkan sebarang risiko geopolitik dan ekonomi, sebelum isu berkenaan bertambah buruk sehingga menjadi krisis.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata blok 10 anggota itu perlu melindungi kestabilan rantaian bekalan serantau dan global, menjamin akses kepada barangan kritikal, tenaga dan teknologi, serta mengurangkan kebergantungan berlebihan pada mana-mana pasaran tunggal atau sumber pengeluaran.
“Walaupun sesetengah pihak menyamakan keselamatan ekonomi dengan pengasingan atau perlindungan - langkah yang malangnya diamalkan oleh beberapa kuasa besar - pendekatan ASEAN harus menumpukan pada keterbukaan namun selamat,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN, yang pertama dalam tempoh lebih dua dekad, hari ini.
Beliau berkata sebagai satu daripada blok serantau utama dunia, ASEAN mesti kekal teguh dalam menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang menyokong kestabilan global dan kemakmuran bersama.
“ASEAN harus menyokong pembaharuan yang lebih fokus dan berimpak tinggi di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terutamanya dalam bidang seperti meningkatkan ketelusan subsidi, mewujudkan tadbir urus perdagangan digital dan memulihkan kepercayaan dalam mekanisme penyelesaian pertikaian, untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan terhadap peraturan perdagangan global,” katanya.
Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata sudah tiba masanya bagi ASEAN untuk memperkukuh keselamatan ekonomi serantau bagi meningkatkan keupayaannya untuk meramal, mengurus dan bertindak balas terhadap risiko yang muncul, merentasi kedua-dua bidang ekonomi dan politik.
“Saya berharap Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF), yang ditubuhkan awal tahun ini, akan memberikan input berharga untuk membantu membentuk masa depan rantau kita,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial