AM > BERITA

Pahang Rekod Kutipan Hasil RM950 Juta Setakat Ini - Wan Rosdy

25/10/2025 05:47 PM

LIPIS, 25 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang berjaya mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM950 juta setakat ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata pihaknya optimis mencapai sasaran kutipan hasil negeri sebanyak RM1 bilion menjelang akhir tahun ini sekali gus meneruskan rekod kutipan melebihi angka berkenaan yang dicapai sejak 2022.

“Selepas mengambil kira perbelanjaan termasuk pembayaran gaji dan kos pengurusan berjumlah RM600 juta, baki hasil akan dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan.

“Antaranya bantuan untuk anak-anak yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, insentif perkahwinan pertama, bantuan program keagamaan serta Projek Rumah Rakyat Pahang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Wira MADANI di Laman Sejahtera, Sungai Koyan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata program itu berjaya mengeratkan hubungan antara veteran angkatan tentera dan agensi kerajaan negeri, selain pemilihan Sungai Koyan sebagai lokasi dianggap tepat kerana ramai pesara tentera menetap di kawasan tersebut.

Wan Rosdy berkata selain meraikan golongan berkenaan, program itu turut memberi pendedahan berguna kepada masyarakat mengenai bidang pertahanan dan tugas anggota tentera dalam menjaga keamanan negara.

“Di samping mengukuhkan silaturahim, program seperti ini membolehkan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bergabung tenaga menganjurkan aktiviti bersepadu untuk masyarakat setempat. 

"Ia turut memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai peranan dan latar belakang anggota pertahanan, sekali gus mampu memupuk minat mereka untuk menyertai bidang ketenteraan pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan