ALOR SETAR, 25 Okt (Bernama) -- Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Utara dilihat berperanan penting dalam merangsang minat generasi muda terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi, sekali gus menjadi pemangkin untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah Dr Haim Hilman Abdullah berkata karnival yang dianjurkan Pusat Sains Negara itu, dapat menggalakkan inovasi seawal mungkin, terutama di peringkat sekolah.
“Bagi pihak kerajaan negeri Kedah, kita menyokong program ini dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Pusat Sains Negara, kerana telah menganjurkan program ini.
“Ini sebahagian daripada usaha kita untuk meramaikan anak-anak menjadi pakar dalam pelbagai bidang sains dan teknologi sejajar dengan keperluan negara,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Karnival MSN Zon Utara di sini, hari ini.
Karnival anjuran Pusat Sains Negara itu berlangsung tiga hari bermula hari ini di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara di sini.
Haim Hilman berkata penganjuran karnival itu juga bertepatan dengan agenda kerajaan negeri yang akan memperkenalkan Program 1,000 Saintis Muda pada tahun hadapan dalam usaha meningkatkan minat anak muda di negeri ini terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Negara memerlukan sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar dalam bidang STEM…maka Kedah akan memainkan peranan aktif untuk membantu negara mencapai sasaran itu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan Sains) MOSTI Ruziah Shafei dalam ucapannya pada majlis itu berkata MSN merupakan inisiatif MOSTI dalam mendekatkan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kepada rakyat.
Beliau berkata bagi memastikan momentum kejayaan penganjuran MSN diteruskan pada tahun 2025, MOSTI mengekalkan pendekatan pelaksanaan MSN secara menyeluruh hingga ke akar umbi melalui pelaksanaan aktiviti secara fizikal di sebahagian besar lokasi di Borneo dan Semenanjung Malaysia.
“Sehingga kini, Karnival MSN 2025 telah diadakan di empat zon bermula di Sarawak pada bulan Mei, diikuti Zon Timur pada bulan Jun, Sabah pada bulan Julai dan Zon Selatan pada bulan September.
“Karnival ini yang membawakan konsep bermain sambil belajar dalam seisi keluarga telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 peserta yang terdiri daripada orang awam dan penduduk tempatan,” katanya.
Ruziah berkata Karnival MSN kali ini juga meraikan pemenang Pertandingan Remote Control (RC) Jet Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran Pusat Sains Negara, yang diadakan mulai Khamis hingga hari ini.
Sementara itu, pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) dinobatkan sebagai johan pertandingan berkenaan, yang mendapat penyertaan 45 pasukan dari pelbagai sekolah seluruh negara.
Muhammad Danish Irsyad Roslan, 16, yang mewakili sekolah itu berkata dia tidak menyangka menjadi juara dalam pertandingan tersebut kerana baharu pertama kali menyertainya, walaupun ramai peserta lain yang lebih berbakat dan berpengalaman.
“Walaupun sewaktu latihan kami sering melakukan kesilapan dan tidak dapat mengawal pesawat RC dengan baik, namun guru kami memberi dorongan dan semangat untuk kami teruskan sehingga mencapai kejayaan,” katanya.
Bagi rakan sepasukannya, Raja Hibah Mardhiyah Raja Ahmad Mukhlis, 16, pula, kejayaan itu menjadi pemangkin untuknya menyertai lebih banyak pertandingan pada masa akan datang bagi mendalami bidang STEM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial