AM > BERITA

Presiden Brazil Lula Terima Ijazah Kehormat Daripada UKM

26/10/2025 01:12 AM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva telah dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pembangunan Antarabangsa dan Selatan Global oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada satu istiadat konvokesyen khas hari ini.

Lula, yang sedang dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, menerima ijazah tersebut daripada Canselor UKM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam syarahan umum selepas menerima ijazah kehormat itu, pemimpin berusia 79 tahun itu melahirkan rasa amat berbesar hati dan terharu dengan pengiktirafan berkenaan, yang disifatkannya sebagai satu penghormatan bukan sahaja terhadap perjalanan hidupnya, tetapi juga kepada ketabahan dan kekuatan rakyat Brazil.

“Adalah satu penghormatan besar bagi saya menerima gelaran ini dengan penuh emosi dan rasa syukur yang tulus. Perjalanan hidup saya mencerminkan kisah jutaan rakyat senegara saya yang telah mengharungi pelbagai kesukaran dan cabaran,” katanya.

“Anugerah ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada rakyat Brazil,” kata Lula, yang memimpin negara terbesar di Amerika Latin itu dari tahun 2003 hingga 2011, dan sekali lagi sejak 2023.

Beliau turut memuji kemajuan Malaysia dan mengulangi komitmennya untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan, inovasi dan pembangunan mampan.

Lula berkata beliau berharap dapat memperkembangkan pertukaran akademik dan saintifik antara Brazil dan Malaysia, sambil menyatakan harapan agar lebih ramai profesor, penyelidik dan pelajar Malaysia dapat menuntut ilmu serta bekerjasama dengan institusi di Brazil, sekali gus mewujudkan laluan pertukaran idea dan inovasi antara kedua-dua negara.

“Malaysia dan Brazil boleh menjadi laluan kepada pemahaman yang lebih mendalam antara Amerika Selatan dan Asia Tenggara dan pada hari ini, semoga kita menanam benih baharu bagi memperkukuh ikatan kemanusiaan antara negara kita serta menginspirasikan generasi baharu untuk terus bermimpi dan mengambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Dr Sufian Jusoh dalam ucapan pengenalannya berkata kepimpinan Lula telah membawa transformasi luar biasa kepada Brazil, mengeluarkan berjuta-juta rakyat daripada kemiskinan melalui program kebajikan sosial dan mendorong pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Lula, Brazil menjadi model pembangunan inklusif, dengan penambahbaikan dalam pengagihan pendapatan dan keadilan sosial menerusi inisiatif seperti Bolsa Família.

“Wawasan Lula juga telah mengukuhkan kedudukan Brazil pada peringkat global dan menggalakkan kerjasama antara ekonomi sedang pesat membangun menerusi platform antarabangsa seperti BRICS,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan