AM > BERITA

Situasi Banjir Di Tiga Negeri Tidak Banyak Berubah

26/10/2025 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Keadaan banjir di Perak, Kedah dan Pulau Pinang tidak banyak berubah dengan mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan meningkat sedikit kepada 5,850 orang pagi ini, berbanding 5,788 malam tadi.

Di PERAK, empat daerah masih terjejas akibat banjir melibatkan 2,867 mangsa daripada 967 keluarga ditempatkan di 28 PPS setakat 8 pagi hari ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 1,872 mangsa daripada 640 keluarga di 19 PPS yang diaktifkan sejak Khamis lepas.

Daerah Manjung mencatat 607 mangsa daripada 202 keluarga berlindung di lima PPS, tiga PPS di Kerian (278 mangsa, 94 keluarga manakala di Perak Tengah, 110 mangsa daripada 31 keluarga (satu PPS).

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir terus meningkat dengan 1,934 orang daripada 602 keluarga dipindahkan di 19 buah PPS setakat 9 pagi,  berbanding 1,708 orang daripada 525 keluarga, malam tadi dengan Kubang Pasu antara daerah terbaru terjejas selain enam lagi daerah.

JPBN Kedah memaklumkan daerah Kulim mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,294 orang daripada 372 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS, diikuti di Baling sebanyak 291 orang daripada 119 keluarga (empat PPS), di Pendang dengan 111 orang daripada 32 keluarga (satu PPS).

Selain itu, di Pokok Sena terdapat 102 orang daripada 32 keluarga (satu PPS), dua PPS di Sik dengan 79 orang daripada 25 keluarga, satu PPS di Padang Terap (34 orang, 11 keluarga) manakala Kubang Pasu 23 orang daripada 11 keluarga (satu PPS). 

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir memaklumkan lima sungai di Kedah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Pendang di Pendang dengan 3.51 meter (m), Sungai Perik di Padang Terap (14.21m), Sungai Laka di Kubang Pasu (22.11m), Sungai Titi Kerbau di Pendang (6.84m) dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu (4.05m).

Di PULAU PINANG, jumlah mangsa banjir pagi ini berkurang sedikit kepada 1,049 orang daripada 295 keluarga ditempatkan di tujuh PPS melibatkan tiga daerah berbanding 1,187 orang daripada 328 keluarga malam tadi.

Berdasarkan laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),  Seberang Perai Utara (SPU) merupakan daerah paling teruk terjejas dengan 781 mangsa daripada 217  keluarga ditempatkan di empat PPS, di Seberang Perai Tengah pula, 234 orang daripada 68 keluarga ditempatkan di dua PSS.

Di daerah Barat Daya pula kekal 34 orang daripada 10 keluarga yang ditempatkan di satu PPS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan