AM > BERITA

Anwar, Trump Saksikan Pemeteraian Perjanjian Damai Thailand-Kemboja

26/10/2025 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Thailand dan Kemboja hari ini menandatangani perjanjian damai yang dikenali “KL Peace Accord” atau Perjanjian Damai KL, menandakan langkah rasmi untuk menamatkan pertelingkahan dan memulihkan keamanan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara itu.

Perjanjian damai berkenaan ditandatangani Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Pemeteraian itu disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dan Presiden Amerika (AS) Syarikat Donald Trump.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan turut menghadiri majlis itu.

Perjanjian damai berkenaan mengukuhkan persetujuan gencatan senjata yang telah dicapai pada Julai lepas, susulan rundingan antara Thailand dan Kemboja.

Ia turut mengesahkan penubuhan pasukan pemerhati ASEAN (AOT) bagi memantau pematuhan dan mencegah berlakunya semula pertempuran di zon sempadan.

Perjanjian damai berkenaan menandakan detik penting dalam diplomasi serantau ASEAN, mencerminkan komitmen blok serantau itu terhadap pencegahan konflik, kestabilan dan kerjasama selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”.

 Thailand dan Kemboja telah lama terjebak dalam konflik mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas, yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.

Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara.

Perjanjian damai itu, yang dianggap sebagai pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada merebak dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula hari ini hingga Selasa di KLCC di sini.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pengunduran senjata berat oleh Thailand dan Kemboja dari kawasan sempadan serta pemindahan dan pemusnahan bahan letupan atau periuk api antara perkara utama perjanjian damai antara kedua-dua negara itu.

Beliau berkata perjanjian terbabit turut melibatkan penubuhan AOT di kawasan sempadan yang bergolak.

Perjanjian berkenaan katanya bertujuan mengekalkan gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak Julai lepas, susulan kedua-dua Perdana Menteri Kemboja dan Thailand ketika itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata.

Mohamad berkata ASEAN turut berharap gencatan senjata berkenaan akan berkekalan dan menyeru kedua-dua negara meneruskan rundingan serta mencari penyelesaian secara aman bagi isu persempadanan mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan