AM > BERITA

Usahawan Wanita Kelantan Tembusi Pasaran Antarabangsa Dengan Snek Coklat Bijirin

26/10/2025 04:48 PM

KOTA BHARU, 26 Okt (Bernama) -- Bermula secara kecil-kecilan dengan modal RM300, usahawan Tengku Norhanim Tengku Othman membuktikan jenama snek berasaskan coklat dan bijirin tempatan mampu menembusi lebih 20 negara.

Tengku Norhanim, 35, yang merupakan pengasas produk NIMS Adeliciousz Sdn Bhd berkata memulakan perniagaan pada 2014 dari rumah dekat Wakaf Bharu, Tumpat hasil dorongan suami Faiz Hussamuddin, 37, dan menjualnya secara dalam talian.

“Produk dihasilkan mendapat permintaan tinggi pelanggan dari Thailand. Namun pada penghujung 2014 saya kerugian antara RM20,000 hingga RM30,000 apabila semua barangan jualan ditenggelami air semasa banjir besar Kelantan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun, Tengku Norhanim tidak patah semangat dan bangkit semula pada tahun berikutnya sehingga berjaya mengembangkan perniagaan dengan jualan melonjak sehingga pernah mencecah RM500,000 sebulan pada 2018. 

Beliau seterusnya memperkenalkan inovasi baharu dengan menghasilkan produk berasaskan coklat dan bijirin, seiring dengan perubahan cita rasa pengguna.

“Sewaktu pandemik COVID-19, produk ini mencatat permintaan luar biasa sehingga berjaya membina rangkaian lebih 30,000 ejen di seluruh negara,” katanya yang kini memiliki sebuah kilang pengeluaran di Meru, Klang, Selangor.

Beliau berkata produk berasaskan coklat dan bijirin dikenali kerana keunikan rasa serta rangup selain mengikut trend inovasi makanan snek masa kini, dengan antara produk terbaharu termasuk sapuan coklat susu dan bijirin serta sapuan coklat berperisa pistachio.

“2022 menjadi titik perubahan apabila produk saya menembusi beberapa pasar raya besar di Malaysia dan pasaran eksport lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Thailand, Singapura dan Filipina.

“Kunci kejayaan saya ialah jangan pernah berhenti mencuba. Kalau jatuh, bangun balik kerana matlamat saya ingin menjadikan produk snek halal bertaraf antarabangsa dan membawa nama Malaysia ke pasaran global,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan