ROMPIN, 26 Okt (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga apabila Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, berjaya menamatkan Kursus Asas Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU).
Baginda bertitah kejayaan itu merupakan detik istimewa bukan sahaja buat putera baginda, tetapi juga kepada seluruh keluarga diraja Pahang.
“Hari ini merupakan hari yang cukup istimewa bagi kami sekeluarga. Dengan bangganya, saya dapat melihat lahirnya seorang PASKAU dalam kalangan keluarga saya,” titah baginda pada sesi Jamuan Diraja sempena Majlis Penutup Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah bersama isteri Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris yang turut menamatkan latihan kepakaran PASKAU bersama Tengku Hassanal.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Panglima Tentera Udara yang kini turut diiktiraf sebagai anggota PASKAU. Walaupun beliau pernah menjadi juruterbang pesawat pejuang, kini beliau juga sebahagian daripada pasukan elit negara,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah kejayaan semua peserta yang menamatkan latihan PASKAU mencerminkan tahap disiplin, ketahanan mental serta komitmen tinggi warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam mempertahankan keselamatan negara.
“Latihan yang dijalankan tidak boleh dikompromi kerana ia melibatkan keselamatan negara. Saya berharap keupayaan sumber manusia TUDM terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa selain mengekalkan tahap kecergasan dan disiplin yang tinggi,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Pahang menyempurnakan pemakaian pangkat Tengku Mahkota Pahang yang dinaikkan daripada Kapten kepada Mejar TUDM berkuat kuasa pada 18 Okt lepas, serta mengurniakan Beret Biru PASKAU.
Baginda turut mengurniakan Beret Biru PASKAU kepada Panglima Tentera Udara serta 22 peserta lain pada majlis penutup kursus berkenaan yang berlangsung di Pantai Hiburan, di sini.
Muhamad Norazlan berkata Tengku Hassanal telah berkenan menjalani latihan kepakaran PASKAU sejak Julai lepas yang meliputi pelbagai modul mencabar.
“Latihan-latihan ini mencerminkan kecekapan dan keupayaan sebenar pasukan elit TUDM dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman. Kursus Asas PASKAU Siri 32/2025 ini bermula pada 28 Julai dan berakhir hari ini, benar-benar menguji kekuatan mental, fizikal dan daya tahan setiap peserta,” katanya.
Beliau berkata daripada keseluruhan tiga pegawai dan 50 anggota lain-lain pangkat yang memulakan kursus itu, hanya seorang pegawai dan 21 anggota berjaya menamatkannya dengan jayanya.
“Ini membuktikan bahawa hanya mereka yang benar-benar memiliki semangat kental dan disiplin tinggi layak menyarung Beret Biru PASKAU. Melalui pengalaman ini, saya lebih memahami kepayahan mereka dan dapat mengenal pasti keperluan sebenar pasukan khas kita,” katanya.
Sementara itu, Leftenan Muda Muhammad Riduan Rahman, 27, berkata semangat juang tinggi serta ketahanan fizikal dan mental menjadi kunci kejayaannya sehingga dinobatkan sebagai peserta terbaik Kursus Asas PASKAU Siri 32/25.
Beliau berkata latihan selama hampir empat bulan di pelbagai lokasi itu, menguji sepenuhnya daya tahan diri, terutama ketika menempuh misi sejauh 190 kilometer sambil membawa beg galas berat.
Anak kelahiran Sandakan, Sabah itu berkata minatnya terhadap pasukan khas bermula sejak kecil apabila sering menonton perbarisan Hari Kebangsaan di televisyen dan tertarik dengan unit elit berpakaian serba hitam.
“Sejak itu, saya berazam untuk menyertai pasukan khas. Apabila berpeluang menyertai TUDM, saya terus mengambil langkah untuk menjadi sebahagian daripada keluarga PASKAU,” katanya yang telah berkhidmat lebih setahun dalam TUDM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial