Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengulangi komitmen republik itu untuk menyokong Timor-Leste, negara anggota baharu ASEAN, dalam proses integrasinya ke dalam blok berkenaan dan menekankan kepentingan memperkukuh perpaduan serta ketahanan ASEAN.
Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata tumpuan ASEAN kini adalah memperluas perdagangan intra-serantau serta meneroka peluang baharu dalam ekonomi digital dan hijau.
“Langkah penting seterusnya ialah menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), yang akan memudahkan urusan perdagangan dan mengurangkan halangan bukan tarif bagi perniagaan serta rakyat kita,” kata Wong dalam hantaran di Facebook.
Beliau juga berkata dengan kemasukan Timor-Leste serta komitmen blok itu terhadap integrasi yang lebih mendalam, ASEAN sedang menghantar isyarat jelas iaitu ia bersatu padu dan bertekad untuk membina masa depan yang lebih makmur dan selamat untuk semua rakyatnya.
Wong berkata ASEAN turut komited memperkukuh usaha bersama dalam memerangi jenayah rentas sempadan khususnya penipuan dalam talian yang menjejaskan ramai rakyat di rantau ini.
Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan pula berkata republik itu secara konsisten menyokong usaha Timor-Leste untuk menyertai ASEAN.
“Menerusi Program Kerjasama Singapura dan Inisiatif bagi Integrasi ASEAN, Singapura telah melatih ratusan pegawai Timor-Leste dalam bidang seperti pentadbiran awam, pendidikan dan tadbir urus digital,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata pada 2022, republik itu melancarkan pakej Sokongan Kesiapsiagaan ASEAN Singapura–Timor-Leste yang Dipertingkat (eSTARS) bagi membantu negara itu bersedia menyertai blok serantau berkenaan melalui latihan khusus, sokongan nasihat dan pertukaran yang bertujuan membina keupayaan Timor-Leste untuk mengambil bahagian dengan berkesan dalam proses serta rangka kerja ASEAN.
Timor-Leste secara rasmi menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11 semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur hari ini.
Penyertaan Timor-Leste melengkapkan wakilan geografi Asia Tenggara.
Sebelum ini, negara terakhir yang diterima masuk ke dalam blok berkenaan ialah Kemboja pada 30 April 1999.
Negara termuda di rantau ini memperoleh kemerdekaannya pada 20 Mei 2002 dan pada 2011, Timor-Leste secara rasmi memohon untuk menyertai ASEAN, menandakan perjalanan selama sedekad dalam usaha memenuhi penanda aras ekonomi dan institusi blok serantau itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial