Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Australia mengenal pasti perancangan pelaburan bernilai AU$20 bilion untuk seluruh Asia Tenggara, sejajar dengan langkah Canberra memasuki fasa baharu kerjasama ekonomi serantau sekali gus menunjukkan komitmen lebih kukuh kepada integrasi ASEAN yang lebih teguh.
Perdana Menteri Anthony Albanese berkata aspirasi negara itu adalah untuk menjadi peserta, rakan kerjasama serta pelabur dalam pertumbuhan rantau tersebut, daripada kekal berada di ambang transformasi ekonomi Asia Tenggara.
Beliau berkata komitmen diperkukuh itu didorong oleh kemajuan utuh yang dicapai tahun lepas, dengan perdagangan dua hala mencecah paras tinggi apabila melonjak hampir AU$6 bilion manakala pelaburan Australia di Asia Tenggara meningkat sekitar AU$2 bilion.
“Komitmen itu dipacu pasukan perjanjian kami yang mengenal pasti projek berpotensi di seluruh rantau ini. Gabungan ini menunjukkan Australia sedang membuat pelaburan baharu dalam sektor pertanian di Laos, tenaga di Thailand, infrastruktur di Vietnam, serta pengangkutan dan logistik melalui Toll (Group) di seluruh Asia Tenggara.
“Dari sudut pandangan kerajaan kami, ini hanya permulaan. Perancangan projek bernilai AU$20 bilion yang kami lihat mempunyai nilai untuk modal dan pembiayaan Australia,” katanya ketika berucap menyampaikan ucapan khas di Forum ASEAN-Indo Pasifik 2025 (AIPF) di sini, hari ini.
Bagi mempercepat kemajuan itu, Albanese mengumumkan komitmen modal baharu termasuk pelaburan bernilai AU$175 juta dalam IFM Investors Asia Fund, satu langkah yang akan membuka pasaran di Asia Tenggara kepada 15 dana persaraan Australia.
“Kami juga akan melabur sebanyak US$50 juta (US$1 = RM4.22) untuk mewujudkan platform baharu yang diterajui oleh Plenary Group, syarikat Australia yang pakar dalam projek infrastruktur perkongsian awam-swasta.
“Platform ini dijangka menyokong projek infrastruktur yang amat diperlukan serta melaksanakan projek pembinaan negara di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata sebagai sebahagian usaha memperkemas pemudahan perniagaan, Australia juga telah mempermudah visa perniagaan, meningkatkan fleksibiliti untuk pengembara kerap, dan memperkenalkan pintu masuk tunggal untuk memudahkan proses pelaburan asing ke Australia.
“Inilah kemajuan yang kami ukur melalui tindakan perkongsian praktikal, dan kerjasama ekonomi mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan gaji dan meluaskan peluang.
“Kerjasama ekonomi yang lebih erat membawa kepada peningkatan persefahaman serta memperkukuh keamanan dan keselamatan di Asia Tenggara. Itulah sebab Australia sangat gembira untuk melabur di Asia Tenggara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial