KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Korea Selatan menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala sempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang disambut pada tahun ini, berasaskan perkongsian strategik yang dimeterai pada 2024.
Komitmen itu antara dizahirkan dalam pertemuan dua hala selama 15 minit antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh dan memperluas kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, pertahanan, infrastruktur serta pembangunan bandar pintar, selain meneroka peluang dalam sektor baharu seperti teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Anwar turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Lee atas penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 yang akan bermula 31 Okt ini, serta merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Korea Selatan dalam memacu pertumbuhan mampan demi manfaat bersama kedua-dua negara.
Terdahulu, Anwar dan Lee mempengerusikan secara bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-26 yang turut dihadiri pemimpin negara anggota ASEAN, sebelum Lee menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) ke-28 bersama Jepun dan China bagi memperkukuh kerjasama serantau yang lebih menyeluruh.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan lebih 3,000 delegasi serta pemimpin dari lebih 30 negara dan organisasi antarabangsa bagi memperkukuh penglibatan dan kerjasama serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial