SUBANG JAYA, 28 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa negara anggota ASEAN untuk memperkukuh integriti serantau menerusi akauntabiliti bersama dan kerjasama awam-swasta yang lebih erat, bagi memerangi rasuah.
Berucap pada perasmian Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21 di sini, hari ini, beliau menegaskan pembangunan pesat ASEAN mesti kekal berpaksikan ketelusan, integriti dan keadilan bagi memastikan kemajuan ekonomi tidak menghilangkan kepercayaan awam.
“Nilai-nilai yang memelihara keadilan dan keadilan mesti kekal sebagai teras kemajuan ASEAN. Integriti bukan sekadar kewajipan moral tetapi asas kepada masyarakat inklusif dan mampan," katanya.
Azalina, yang menyaksikan penyerahan jawatan pengerusi ASEAN-PAC daripada Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia Fitroh Rohcahyanto kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, berkata forum itu berfungsi sebagai platform utama bagi negara anggota untuk bertukar idea dan membina rangka kerja baharu bagi mengukuhkan kerjasama antirasuah serantau.
Beliau berkata pembaharuan perundangan dan institusi Malaysia yang berterusan mencerminkan kepercayaan negara bahawa memerangi rasuah mesti merentasi sempadan dan diterima sebagai misi serantau.
Sementara itu, Azam berkata pelantikan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN-PAC mencerminkan tanggungjawab penting pada peringkat serantau dan komitmen baharu untuk memperkukuh perpaduan serta kerjasama antara institusi antirasuah ASEAN.
“Peranan ini merupakan tanggungjawab besar untuk memperkukuh misi bersama dalam mempertahankan integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya sambil menambah sepanjang tempoh menyandang jawatan itu, Malaysia akan menumpukan kepada usaha memperkasakan kerjasama antirasuah ASEAN melalui inovasi, penyelarasan digital dan perkongsian ilmu.
Beliau turut mengumumkan pelancaran Portal ASEAN-PAC, sebuah platform digital bagi memudahkan penyelarasan dan meningkatkan ketelusan dalam kalangan anggota agensi serta menekankan kepentingan menyelaraskan integriti dengan daya saing ekonomi
Sementara itu, pengerusi terdahulu Fitroh Rohcahyanto merakamkan penghargaan kepada semua anggota ASEAN-PAC atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh Indonesia menyandang jawatan itu, termasuk kejayaan pelaksanaan inisiatif serantau seperti Bengkel Pembangunan Kapasiti ASEAN-PAC dan Festival Filem Antirasuah.
“Apabila Malaysia menerajui kepimpinan, kami yakin ASEAN-PAC akan terus memberikan syor yang bernas kepada Sidang Kemuncak ASEAN dan memainkan peranan lebih besar dalam membentuk dasar antirasuah di seluruh rantau ini,” katanya.
Mesyuarat tiga hari itu yang berakhir pada 30 Okt menghimpunkan pegawai kanan antirasuah serantau serta rakan antarabangsa termasuk Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial