KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon berkongsi suasana ceria pada permulaan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand apabila kedua-duanya berjenaka mengenai menu makan tengah hari.
Selaku tuan rumah Jamuan Makan Tengah Hari Gala ASEAN-New Zealand hari ini, Anwar secara berjenaka bertanya kepada Luxon, sama ada daging lembu yang dihidangkan diterbangkan khas dari New Zealand, dan Luxon membalasnya dengan berkata “sudah tentu, itu yang terbaik di dunia.”
Perdana Menteri Anwar kemudian berkata “baiklah, terima kasih – usah bimbang segalanya disediakan secara halal”.
Dalam ucapannya beliau berkata perkongsian ASEAN-New Zealand yang telah terjalin selama lima dekad terus berpaksikan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Kerjasama ASEAN dan Wellington bukan sahaja meraikan sejarah bersama, tetapi juga meneroka pendekatan baharu untuk memperkukuh hubungan dan membuka peluang kerjasama.
“Kita berada di sini untuk meraikan perkongsian ini bukan sahaja kerana ia sudah bertahan sejak sekian lama, tetapi juga untuk mencari kaedah bagi mempertingkatkan hubungan kita.
“New Zealand bersama-sama dengan ASEAN pada waktu senang mahupun susah. Daripada krisis kemanusiaan sehingga ketidakpastian global, perbincangan ini tentunya bukan hanya merintis laluan baharu, tetapi juga meneroka peluang baharu,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada acara Diplomasi Halal anjuran New Zealand, mengalu-alukan kesediaan New Zealand untuk menyertai Majlis Halal ASEAN yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.
Beliau berkata industri halal kekal sebagai tonggak utama kerjasama Malaysia-New Zealand, sambil menegaskan kedua-dua negara boleh memperluas peluang melalui Aturan Pelaksanaan Halal (HIA).
Sementara itu, dalam ucapannya Luxon berkata New Zealand dan ASEAN akan terus menjalinkan kerjasama rapat di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif bagi menggalakkan dialog, kestabilan serantau serta orde antarabangsa berasaskan peraturan.
“Dalam dunia hari ini yang dilanda pelbagai cabaran, ASEAN dan New Zealand senantiasa teguh dengan keyakinan bahawa pendekatan diplomasi lebih baik berbanding penggunaaan senjata.
“Dunia yang menjadi dambaan ialah dunia yang menyaksikan perdagangan kekal terbuka, dan rantau Indo-Pasifik yang memperlihatkan ASEAN memainkan peranan penting sebagai tonggak kepada acuan serantau yang stabil dan makmur berasaskan undang-undang antarabangsa.
Luxon berkata, tahun 2025 bakal menjadi detik penting bagi kedua-dua pihak, bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN-New Zealand, tetapi juga ulang tahun ke-20 penyertaan New Zealand dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC)
Beliau berkata perdagangan dua hala antara New Zealand dan ASEAN kekal kukuh, disokong oleh dua perjanjian perdagangan bebas utama - Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA).
“Hari ini, kita menandatangani perjanjian baharu mengenai perkhidmatan udara serantau. Kerjasama kita menjadikan kedua-dua pihak lebih makmur dan selamat dalam dunia penuh cabaran.
“Kerjasama kita berteraskan keamanan, perkongsian dan saling menghormati. New Zealand menghargai usaha ASEAN menyatukan pelbagai negara serta suara mereka dalam isu yang memberi kesan kepada kita semua,” katanya.
Luxon turut mengucapkan tahniah kepada Timor-Leste atas kemasukan rasmi sebagai anggota penuh ASEAN dan sejak sekian lama, New Zealand menyokong aspirasi negara itu untuk menyertai badan serantau berkenaan.
Sidang kemuncak peringatan itu meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-New Zealand yang terjalin sejak 1975.
Sepanjang dekad yang lepas, kerjasama itu terus berkembang merangkum perdagangan, pendidikan dan kestabilan serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial