AM > BERITA

Johor Diiktiraf Negeri Pintar - Exco

28/10/2025 04:10 PM

JOHOR BAHRU, 28 Okt (Bernama) -- Johor melakar sejarah apabila menjadi negeri pertama diiktiraf sebagai “Negeri Pintar” selepas kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya mencapai sekurang-kurangnya tahap satu Smart City Early Adopter, dalam penarafan Bandar Pintar Malaysia. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pencapaian itu menjadikan Johor mencapai sasaran Blueprint Bandar Pintar Johor 2030 lima tahun lebih awal daripada perancangan asal.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut mencipta sejarah apabila muncul PBT pertama negara yang mencapai tahap tiga Leading Smart City sekali gus mengangkat Johor sebagai peneraju utama agenda bandar pintar negara. 

"Inisiatif bandar pintar bukan sekadar agenda digital tetapi cerminan kepada sebuah pentadbiran moden yang berpaksikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan lestari di bawah gagasan Maju Johor," katanya menerusi hantaran di laman Facebook. 

Pengiktirafan itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof bersempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan, Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) dan MyCity Expo 2025 di Putrajaya hari ini. 

Mohd Jafni berkata antara inisiatif strategik yang dilaksanakan termasuk penubuhan Smart Command Centre di setiap PBT, pemasangan lebih 2,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) pintar di Greater Johor Bahru, penggunaan sistem sensor udara di kawasan industri dan perumahan. 

"Selain itu, turut dilaksanakan sistem trafik pintar, sistem aduan bersepadu, pendigitalan lesen perniagaan, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta sistem pengurusan sisa pintar berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI).

"Semua inisiatif ini bukan hanya meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, tetapi juga memperkukuh keselamatan, kebersihan dan kualiti hidup rakyat Johor," katanya. 

Beliau berkata selain aspek digitalisasi, kerajaan negeri turut giat melaksanakan agenda Johor Green Deal bagi memastikan pembangunan negeri berlangsung secara lestari dan berdaya tahan. 

"Antara fokus utama perluasan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV), pengurusan tenaga hijau di bangunan kerajaan serta program kesedaran komuniti terhadap gaya hidup rendah karbon," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan