AM > BERITA

Pengalaman Berharga Lebih Tiga Dekad Berkhidmat Di Bernama

29/10/2025 03:53 PM

PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Lebih tiga dekad menabur bakti di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dua petugas agensi berita nasional itu menganggap setiap pengalaman dilalui sebagai kenangan paling berharga dalam kerjaya mereka.

Bekas Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus, 60, berkata perjalanan selama 36 tahun dalam dunia kewartawanan dianggap satu tempoh yang sarat dengan pembelajaran, cabaran dan pengorbanan.

Beliau berkata dari meja berita am ke meja berita mahkamah, setiap tugasan menuntut ketepatan  dan tanggungjawab tinggi dari aspek masa serta maklumat diterima.

“Saya bermula dengan wartawan biasa, membuat liputan berita am kemudian saya membuat liputan berita mahkamah.

“Dari kes sekecil-kecilnya (seperti) mencuri benda kecil hinggalah kes berprofil tinggi berlibatkan tokoh-tokoh, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri, terlibat juga dalam perbicaraan kes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi antara penerima sijil penghargaan pada Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi 2025 di sini hari ini, yang disampaikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Ni Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.   

Anak kelahiran Kedah itu berkata dunia media banyak berubah sejak 1980-an, namun prinsip kewartawanan yang berasaskan kejujuran dan ketepatan kekal menjadi pegangan sepanjang tempoh beliau mencurahkan bakti di Bernama.

“Banyak pengalaman saya lalui dalam kerjaya sebagai wartawan. Tidak mengira waktu kerja dari pagi hingga malam. Ini bukan kerjaya mudah untuk orang bertahan termasuk perkembangan teknologi yang banyak berubah,” katanya.

Turut menamatkan perkhidmatan ialah Sharifah Munirah Syed Abdullah, 59, yang berkhidmat sebagai setiausaha pejabat di pelbagai jabatan termasuk Jabatan Pengarang Bernama selama 36 tahun.

Walaupun bukan petugas media di lapangan, sumbangannya dalam menyokong urusan pentadbiran dan pengurusan berita turut memainkan peranan penting dalam perjalanan agensi berita itu.

“Walaupun saya bukan petugas media tetapi saya bangga sebab anak saya kini bertugas sebagai wartawan di meja sukan Bernama,” kata anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak.

Sementara itu, Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu Sabri Mansor, 60, turut mengimbau pengalaman berharga sepanjang lebih 32 tahun bersama dunia penyiaran.

“Kalau tak bertugas di bahagian berita atau tak kerja RTM, tak mungkin saya dah sampai ke pelbagai negara macam Moscow, Venezuela dan Chile,” katanya.

Beliau menyifatkan pengalaman mengiringi lawatan rasmi serta membuat liputan luar negara sebagai antara peluang paling berharga yang sukar dilupakan.

Sebanyak 114 pesara dari agensi dan jabatan di bawah Kementerian Komunikasi diraikan dalam majlis itu sebagai simbol penghargaan terhadap bakti sepanjang perkhidmatan, di samping mengiktiraf legasi serta inspirasi yang ditinggalkan kepada generasi penerus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan