KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Tempoh 72 jam pertama selepas serangan strok merupakan masa paling kritikal untuk menentukan peluang pemulihan dan menyelamatkan pesakit.
Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Aaron Lai Kuo Huo dalam kenyataan berkata apabila seseorang itu diserang strok, setiap detik sangat bernilai kerana hampir 1.9 juta neuron akan hilang dalam setiap seminit.
"Tempoh 72 jam pertama atau sering dirujuk sebagai ‘jendela waktu penting’ boleh menentukan sama ada pesakit itu bakal pulih sepenuhnya atau mengalami kecacatan untuk jangka masa panjang.
“Apabila strok menyerang pesakit, otak mereka kurang mendapat oksigen dan sel otak akan mula rosak. Intervensi pantas seperti ubat cair darah atau trombektomi mampu menyelamatkan nyawa dan memelihara fungsi otak tetapi intervensi ini mesti dilakukan dengan kadar segera,'' katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kajian menunjukkan bahawa pesakit yang menerima terapi trombolitik dalam tempoh 4.5 jam mulai dari awal gejala strok mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk pemulihan fungsi.
Selain itu, Dr Aaron berkata strok kekal sebagai punca kedua kematian dengan lebih 12.2 juta kes baharu direkodkan pada 2019 di seluruh dunia, manakala di Malaysia sebanyak 47,911 kes strok baharu direkodkan dengan hampir 20,000 kematian pada tahun sama.
Di Malaysia, beliau berkata golongan muda semakin terdedah untuk menghidap strok dan ia dikenal pasti berpunca daripada amalan gaya hidup tidak sihat seperti diet tidak seimbang, obesiti, tabiat merokok dan kurang aktiviti fizikal.
Beliau berkata kajian turut menunjukkan peningkatan sebanyak 53.3 peratus dan 50.4 peratus kes strok masing-masing dalam kalangan lelaki dan wanita, lingkungan julat umur 35 hingga 39 tahun.
“Pesakit yang lebih muda sering terlepas pandang untuk mengecam gejala awal strok atau melengah-lengahkan urusan untuk mendapatkan rawatan, menyebabkan kesan strok yang dialami lebih buruk,'' kata Dr Aaron.
Sementara itu, Pakar Neurologi Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway Dr Mohamad Imran Idris berkata dalam tempoh 72 jam juga, pakar perubatan akan memberi tumpuan kepada pencegahan komplikasi seperti strok sekunder atau pembengkakan otak.
Dr Aaron berkata selepas menjalankan rawatan termasuk terapi trombolitik, pakar perubatan akan memantau rapi serta membuat imbasan otak berulang kali dalam tempoh 24 jam pertama bagi memastikan tiada berlaku pendarahan atau komplikasi lain.
Dalam tempoh itu juga, faktor kesihatan utama seperti tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan penghidratan akan distabilkan bertujuan mengurangkan kerosakan pada sel otak.
"Pemulihan awal adalah mustahak. Lebih cepat kita dapat memulakan terapi yang kebiasaannya dalam tempoh 48 hingga 72 jam, maka peluang pesakit untuk mendapatkan semula keupayaan mobiliti dan ketidakbergantungan adalah lebih tinggi.
''Proses pemulihan lebih awal dapat memberi manfaat yang besar kepada pesakit strok. Memulakan terapi sebaik sahaja pesakit stabil mampu memaksimumkan peluang mereka untuk hidup seperti sediakala sama ada berupaya untuk kembali berjalan, menelan atau bercakap,'' katanya.
Pada masa sama, beliau berkata penglibatan keluarga juga memainkan peranan penting dan pesakit strok yang mendapat sokongan penuh daripada insan tersayang cenderung untuk pulih dengan lebih baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial