KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) hari ini mengulangi komitmennya terhadap pendidikan kewangan dan tanggungjawab sosial menerusi program mencari harta karun “KLues to BUDI”, yang melibatkan lebih 200 peserta daripada institusi kewangan, rakan media serta komuniti setempat.
Diadakan di Menara Aras Raya, ia bermatlamat menterjemah literasi kewangan ke dalam amalan sebenar, di samping memupuk nilai BUDI AKPK iaitu Bina Ilmu, Umpil Potensi, Dinamikkan Sumber serta Imbalan Kebijaksanaan.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata program berkenaan bukan sekadar pertandingan yang menyeronokkan, tetapi juga memupuk kerja berpasukan, pemikiran kritis serta kemahiran membuat keputusan kewangan dalam persekitaran yang dinamik.
“Di AKPK, kami percaya ‘berbudi’ bukan sekadar memberikan sokongan kewangan, tetapi juga tentang mengembalikan harapan dan menegakkan maruah.
“Kerjasama strategik dengan penyedia kewangan telah membuktikan sikap prihatin dan kolaborasi dapat memberikan peluang kedua bagi mereka yang menghadapi kesulitan kewangan, membantu mereka bangkit semula dengan keyakinan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Bersempena program berkenaan, AKPK turut melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi membantu golongan rentan di Lembah Klang, dengan dana dikumpulkan melalui program terbabit digunakan untuk membeli keperluan dapur seperti minyak masak dan barangan makanan kering bagi keluarga B40.
Azaddin berkata inisiatif berkenaan mencerminkan kepercayaan AKPK bahawa daya tahan kewangan bermula dengan memastikan keperluan asas dipenuhi serta memelihara maruah insan.
“Rakan media memainkan peranan penting dengan menyampaikan naratif positif yang menggalakkan orang ramai untuk hidup secara bijak, berbelanja secara berhemat serta mengurus kewangan mereka dengan berfokus pada setiap peringkat kehidupan,” katanya.
Beliau berkata AKPK akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi melaksanakan program yang memberi impak bagi mengukuhkan literasi kewangan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti secara keseluruhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial