AM > BERITA

ETS3 Ke Johor Bahru Tingkat Akses Mobiliti, Sektor Pelancongan Johor Menjelang TMM2026 - Loke

02/11/2025 02:52 PM

SEGAMAT, 2 Nov (Bernama) -- Perluasan perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) ke Johor Bahru yang kini pada fasa akhir persiapan, dijangka memperkukuh akses mobiliti pengangkutan awam dan sektor pelancongan di Johor menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata perkhidmatan baharu itu, yang dijadual beroperasi selewat-lewatnya pertengahan Disember, juga dilihat mampu menyokong peningkatan jumlah pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026.

“Jadi kita masih mencari tarikh yang sesuai kerana beberapa persiapan terakhir masih perlu dimuktamadkan, tetapi tidak lebih daripada pertengahan bulan Disember akan dimulakan perkhidmatan ETS ke Johor Bahru.

“Jadi ini sudah tentu merupakan satu lagi tambahan kepada mod pengangkutan di Johor dan saya yakin ia juga dapat membantu sektor pelancongan di negeri Johor, terutamanya bandar-bandar sekunder, bandar-bandar kecil seperti Segamat, Labis, Kluang, Kulai,” katanya.

Beliau berkata kerja-kerja melibatkan aspek teknikal kini sedang disempurnakan sebelum pengumuman harga tiket dibuat dalam masa terdekat.

Laluan ETS yang sebelum ini berakhir di Gemas, Negeri Sembilan kini dilanjutkan ke selatan sehingga Johor Bahru.

Laluan berkenaan merangkumi hentian utama di Segamat, Kluang dan Kulai sebelum berakhir di Stesen Johor Bahru Sentral, sekali gus melengkapkan jajaran kereta api pantai barat Semenanjung.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan