KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan berangkat mengadakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain bermula esok sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 68 tahun.
Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan lawatan berkenaan mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi, sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada 1984.
Semasa berada di Riyadh, Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Yamamah.
Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi dan Bahrain akan diiringi paduka anakanda, iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.
Turut serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengiring.
“Lawatan negara ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam,” menurut kenyataan itu.
Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi.
Negara Tanah Suci itu juga rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (USD9.79 bilion).
Selain aspek ekonomi, hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah, dengan Seri Paduka Baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesra dan penyelarasan istimewa yang diberikan kepada jemaah Malaysia saban tahun.
Selesai lawatan di Arab Saudi, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Bahrain pada 6 Nov atas persilaan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bagi lawatan negara yang julung kali diadakan sejak hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain terjalin pada 1974.
Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim dan Raja Hamad menjalin persahabatan akrab sejak sekian lama, dengan Seri Paduka Baginda berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain pada 2017 ketika menjadi Sultan Johor, manakala Raja Hamad berkenan berangkat ke Kuala Lumpur pada 2024 bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Malaysia dan Bahrain menjalin kerjasama dalam pelbagai sektor, dengan jumlah nilai perdagangan sebanyak RM1.19 bilion (USD0.26 bilion) pada tahun lepas, selain penglibatan aktif kedua-dua negara di pentas antarabangsa menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC-ASEAN).
Sementara itu, Seri Paduka Baginda bertitah lawatan ke Arab Saudi dan Bahrain merupakan kesinambungan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan pelbagai negara luar demi kepentingan dan manfaat rakyat serta negara.
“Pada lawatan negara saya ke Singapura, Brunei, China dan Rusia, saya sentiasa menekankan kepentingan kerjasama dan persahabatan erat yang memberi manfaat bersama kepada rakyat dan negara kita.
“Arab Saudi dan Bahrain adalah dua negara yang amat dekat di hati saya serta mempunyai hubungan strategik yang penting. Saya mohon rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan lawatan ini demi manfaat jangka panjang negara kita,” titah Seri Paduka Baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial