KEPALA BATAS, 27 Okt (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara diminta untuk berani melaksanakan Responsif Gender Melalui Penyertaan Awam (GRPB) mengikut konteks tempatan masing-masing dan menjadikannya budaya baharu dalam tadbir urus.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk memperkukuh dasar serta menyediakan sokongan agar pelaksanaan GRPB dapat diperluas ke seluruh negara.
“KPKT sentiasa berpendapat PBT ialah barisan hadapan tadbir urus negara dan di sini denyut nadi rakyat dirasai serta kerajaan dinilai berdasarkan kemampuan memahami serta memenuhi keperluan sebenar masyarakat berbilang kaum.
“Kita memperkukuh pendekatan gabungan responsif gender (GRB) dan penyertaan awam (PB) sebagai alat dasar nasional untuk memastikan belanjawan benar-benar memenuhi keperluan rakyat supaya tiada yang tertinggal atau terpinggir," katanya.
Nga berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Dan Rekayasa Neksus GRPB 2025 secara sidang video di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Kim serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Persidangan Neksus GRPB 2025 menawarkan gabungan dua pendekatan belanjawan saling melengkapi iaitu GRB dan PB untuk perancangan bajet serta pembuatan keputusan yang lebih demokratik serta inklusif, sejajar dengan nilai MADANI.
Persidangan dianjurkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan dihadiri semua PBT seluruh negara.
Nga berkata GRPB ialah manifestasi nilai Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) nombor 5, 10, 11 dan 16.
Sementara itu, Lim berkata GRPB bukan hanya mengenai wanita sebaliknya tentang keadilan, penyertaan, keseimbangan dan kemampanan dalam pembangunan menerusi prinsip mudah iaitu kelompok serta keperluan berbeza.
Beliau berkata Persidangan NEKSUS GRPB 2025 merupakan titik penyatuan tekad nasional dan akan membawa inspirasi baharu untuk memperkukuh belanjawan inklusif di PBT masing-masing agar tiada suara atau komuniti terpinggir atau tertinggal.
“Semoga NEKSUS GRPB 2025 menjadi faktor mangkin kepada gelombang baharu tadbir urus yang lebih adil, responsif dan mampan demi Malaysia MADANI yang benar-benar inklusif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial