AM > BERITA

Kesihatan PM Anwar Semakin Pulih

03/11/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keadaan kesihatan beliau beransur pulih serta mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraannya.

Keadaan kesihatan terkini Anwar itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook yang disertakan dengan sebuah video memaparkan Perdana Menteri sedang meluangkan masa dengan anak serta cucu perempuannya.

Healing (Meluangkan masa) dengan cucu. Alhamdulillah, kian beransur pulih. Terima kasih atas doa semua,” menurut hantaran itu hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang dijadualkan pada Ahad, atas nasihat pasukan perubatan setelah Perdana Menteri mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakan beliau terbatas dan perlu mendapatkan rehat mencukupi.

PMO memaklumkan, Perdana Menteri turut memohon maaf setulusnya khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau.

Anwar berlepas pulang ke tanah air pada Sabtu selepas menamatkan lawatan kerja ke Korea Selatan, ketika beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Jumaat lepas.

Sebelum itu, Perdana Menteri mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dihadiri pemimpin-pemimpin dunia berpengaruh di ibu negara dari 26 hingga 28 Okt.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan