KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Lebih 250 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pelbagai sektor mendapat pendedahan mengenai amalan pendigitalan terbaik menerusi seminar bertemakan Tech Up, Scale Up! Elevate Your SME Journey through AI, Digital Transformation and Smart Solutions, yang diadakan di sini hari ini.
Program yang turut disertai 20 syarikat penyedia digital dan teknologi itu, memberi fokus kepada adaptasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan pembuatan pintar bagi membantu PKS bersaing dalam ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kementeriannya melalui agensi seperti SME Corp Malaysia, akan memastikan elemen pendigitalan dan teknologi diterapkan dalam pelbagai program sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Langkah ini selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan komprehensif,” katanya berucap pada majlis perasmian seminar itu.
Seminar itu dianjurkan SME Corp Malaysia, agensi di bawah KUSKOP dengan kerjasama strategik Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy berkata tumpuan agensi itu kini lebih bersasar untuk memperkukuh daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara.
“Melangkah ke RMK13, fokus SME Corp Malaysia ialah meningkatkan keupayaan penskalaan PMKS, bagi melahirkan entiti perniagaan tempatan yang berdaya cipta, bernilai tambah tinggi dan mampu bersaing di pasaran domestik serta global,” katanya.
Seminar itu merupakan siri pertama bagi tahun 2025 yang diadakan di Kuala Lumpur, manakala siri kedua dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Nov.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KUSKOP dan SME Corp Malaysia bagi menyokong pembangunan PMKS ke arah transformasi digital dan pendigitalan berskala, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai AI Nation menjelang 2030.
Untuk maklumat lanjut, layari www.smecorp.gov.my atau platform media sosial rasmi SME Corp Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial