AM > BERITA

Malaysia Perkukuh Ekonomi Penjagaan Melalui Pelan Strategik 2026-2030 - Nancy

04/11/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026-2030 dilancarkan hari ini bagi memastikan ekosistem ekonomi penjagaan yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat di semua peringkat umur.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelan hala tuju kebangsaan itu bertujuan memperkasa sistem penjagaan yang lebih tersusun dan berdaya tahan di negara ini.

Beliau berkata kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan antarabangsa merupakan faktor utama dalam memperkukuh agenda ekonomi penjagaan negara.

“Rakan strategik kami termasuk kerajaan Australia, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Kiddocare dan Asyikin Holdings, memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini.

“Ia menunjukkan keyakinan mereka terhadap kemampuan Malaysia untuk menerajui inisiatif ini di peringkat serantau dan global,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan The New Frontiers in the Care Economy Conference (CARECON) dan pelancaran pelan berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Serantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kesamarataan Jantina dan Pemerkasaan Wanita (UN Women), Christine Arab; Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia dan Brunei, Robert Gass; Wakil Tetap Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) ke Malaysia, Singapura dan Brunei; Edward Vrkirc serta Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.

Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik (ESCAP) Armida Salsiah Alisjahbana dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn turut berucap secara dalam talian.

Nancy berkata pelan strategik itu dibina berasaskan lima tonggak utama iaitu tadbir urus kukuh, laluan kerjaya, advokasi, kolaborasi strategik serta galakan terhadap penyelidikan, data dan teknologi.

Beliau berkata pelan tersebut turut menekankan aspek perlindungan dan pembangunan kerjaya bagi penjaga profesional supaya mereka mempunyai jaminan pekerjaan dan keselamatan lebih baik, selain turut mengiktiraf penjaga bagi warga emas, kanak-kanak serta golongan orang kurang upaya (OKU).

“Tanpa rangka kerja ini, agak sukar untuk kita melaksanakan program secara terancang. Kerangka ini menjadi panduan kepada semua pihak dalam membangunkan tenaga kerja penjagaan atau caregivers yang profesional dan terlindung.

“Kita tidak mahu penjaga ini hanya bekerja tanpa hala tuju atau perlindungan. Kita mahu mereka ada laluan kerjaya yang jelas, keselamatan kerja dan keyakinan diri untuk terus berkhidmat dengan profesional,” katanya.

Nancy berkata Malaysia turut mengambil pendekatan ‘benchmarking’ terhadap amalan terbaik negara lain namun akan menyesuaikannya mengikut konteks tempatan.

“Kita boleh menjadikan negara luar sebagai penanda aras, tetapi tidak semuanya sesuai diserap kerana budaya, demografi dan undang-undang kita berbeza. Kita akan pilih yang sesuai sambil mengambil kira nilai dan panduan agama kita,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai status pelaksanaan pelan itu, Nancy berkata kementeriannya telah memulakan pelbagai inisiatif dalaman sejak tahun lepas bagi melatih penjaga yang berkhidmat di bawah kementerian.

Beliau berkata usaha itu selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan bilangan penjaga mahir kepada 50,000 orang menjelang 2030 di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

CARECON berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Nov sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan tahun ini, dengan penyertaan lebih 200 peserta dari negara anggota ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan