AM > BERITA

KKR Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi Monsun Timur Laut - Nanta

04/11/2025 06:16 PM

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan bencana ketika musim Monsun Timur Laut terutama membabitkan kerosakan infrastruktur jalan raya dan jambatan di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bilik gerakan bencana di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diaktifkan baru-baru ini bagi memantau situasi semasa secara hampir masa nyata di seluruh negeri.

“Setiap kali Monsun Timur Laut melanda, banyak kerosakan infrastruktur berlaku seperti jalan rosak, jambatan runtuh serta cerun terjejas. Sebab itu kami sentiasa bersedia dengan pelan tindakan dan pasukan pemantauan yang beroperasi 24 jam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan JKR Greenday 2025 di sini hari ini.

Nanta berkata persediaan turut dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan lain, termasuk penyediaan aset tambahan seperti jambatan sementara (bailey bridge) dan peralatan sokongan bagi kerja-kerja pembaikan segera.

“Selain itu, kami juga telah menambah jumlah jambatan sementara dan beberapa kelengkapan penting lain bagi memastikan laluan dapat dipulihkan dengan cepat sekiranya berlaku gangguan,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Roslan Ismail.

Program JKR Greenday 2025, yang berlangsung hari ini diadakan secara dwitahunan sebagai wadah strategik memperkukuh kerjasama antara pihak berkepentingan utama industri pembinaan serta meningkatkan kefahaman awam mengenai pembangunan mampan.

Dengan tema Green Generation: Empowering Change, program itu menarik lebih 300 peserta dan menampilkan lapan penceramah jemputan daripada pelbagai sektor selain penyertaan organisasi strategik yang menyokong inisiatif hijau sektor pembinaan.

Acara turut menyaksikan penyerahan Sijil pH JKR kepada 12 projek terpilih sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan kerjasama pasukan projek yang berjaya mencapai keputusan tiga bintang dan ke atas.

KKR melalui JKR menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong pembangunan infrastruktur negara yang mampan dan lestari, seiring aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, inklusif dan kelestarian dalam membentuk masyarakat progresif serta berdaya saing.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan