AM > BERITA

Sultan Ibrahim Hadiri Majlis Santapan Negeri Di Istana Sakhir Malam Ini

07/11/2025 02:26 PM

Daripada Erda Khursyiah Basir

MANAMA (BAHRAIN), 7 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan diraikan pada Majlis Santapan Negeri yang dianjurkan oleh Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa di Istana Sakhir malam ini.

Majlis pada sebelah malam itu akan dimulakan dengan acara tertutup khusus untuk kerabat diraja pada pukul 7.30 malam (12.30 tengah malam waktu Malaysia).

Sultan Ibrahim akan diiringi oleh kerabat Diraja Johor termasuk Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj; dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj.

Majlis Santapan Negeri itu turut disertai Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Tan Sri Dr Azmi Rohani; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin; dan Duta Besar Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran.

Acara rasmi pada malam itu merangkumi bacaan ayat suci al-Quran di Bilik Majlis Negara, diikuti ucapan oleh Raja Hamad dan Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim tiba di sini semalam, selepas menyempurnakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.

Ini merupakan lawatan negara keenam Sultan Ibrahim ke luar negara, selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi, sekali gus menjadi detik bersejarah hubungan Malaysia–Bahrain sebagai lawatan diraja pertama sejak 1974.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan