KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dalam pendidikan inovatif, apabila muncul juara dalam dua kategori Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk dan Penyampaian Kurikulum Inovatif (AKRI) 2025.
UTP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa acara berprestij disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir itu, mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam inovasi kurikulum dan penyampaian pengajaran kreatif di institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia.
Kategori pertama ialah Kurikulum Program Pengajian Inovatif yang dimenangi pada Sarjana Sains (MSc) dalam Kejuruteraan Penggerudian (mod kerja kursus) yang diketuai Dr Dzeti Farhah Mohshim, dengan program itu diiktiraf atas pendekatan perintis dalam reka bentuk kurikulum serta kerjasama erat dengan rakan industri.
Menurut kenyataan itu struktur unik program berkenaan, menggabungkan amalan terkini industri, teknologi canggih dan pendekatan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah, sekali gus memastikan graduan bersedia menghadapi masa depan dan berdaya saing pada peringkat global.
“Anugerah ini mencerminkan kerjasama kukuh UTP dengan industri serta komitmen kami untuk menawarkan pendidikan yang mantap dan relevan,” katanya.
“Program Sarjana Sains (MSc) dalam Kejuruteraan Penggerudian di UTP terus membuktikan keunggulannya, apabila menggabungkan kecemerlangan akademik dengan aplikasi dunia sebenar.
“Program MSc dalam Kejuruteraan Penggerudian ini menjembatani kecemerlangan akademik dengan aplikasi praktikal dan membekalkan pelajar kami dengan kepakaran teknikal, nilai kepimpinan dan keupayaan menyesuaikan diri untuk berjaya dalam landskap tenaga yang sentiasa berubah,” kata Dr Dzeti Farhah.
Sementara itu, Dr Muhammad Luqman Hasan muncul pemenang dalam kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun menerusi projek bertajuk Cooperative Game-based Learning with Gamification: Empowering First-Year Engineering Students Through Inclusive Engagement.
Menurut kenyataan UTP, projek inovatif itu memikat juri melalui integrasi kreatif antara pembelajaran koperatif, dinamik permainan dan pendekatan pengalaman imersif yang berjaya meningkatkan penyertaan, kerjasama dan prestasi pelajar, khususnya dalam kalangan pelajar tahun pertama kejuruteraan.
Pendidikan mencapai impak maksimum apabila pelajar benar-benar terlibat dalam perjalanan pembelajaran mereka. Melalui gamifikasi dan permainan kolaboratif, kami mentakrifkan semula bilik darjah sebagai ruang dengan kreativiti, keterangkuman dan penerokaan mendorong pembelajaran yang lebih mendalam serta keyakinan diri pelajar,” kata Muhammad Luqman.
Kedua-dua Dr Dzeti Farhah dan Dr Muhammad Luqman, daripada Jabatan Kejuruteraan Petroleum universiti itu.
Kemenangan berganda itu mengukuhkan lagi kedudukan UTP sebagai peneraju pendidikan kejuruteraan dan teknologi, serta menonjolkan komitmennya terhadap program berteraskan masa depan dan berorientasikan industri bagi melahirkan graduan inovatif serta berdaya saing global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial