KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan program ‘Thoriq Ya Hajj’, inisiatif pertandingan berjalan kaki secara maya pertama khusus untuk bakal haji bagi memperkukuh tahap kesihatan dan kesiapsiagaan fizikal mereka menjelang musim haji 1447H/2026M.
Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata inisiatif itu seiring penekanan aspek istito'ah atau berkemampuan kesihatan sebagai syarat penting ibadah haji, di samping usaha berterusan TH memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan bakal haji.
“Ibadah haji adalah satu ibadah yang menuntut kekuatan fizikal dan daya tahan yang tinggi. Sebagai contoh, ketika di Tanah Suci, jemaah haji muassasah perlu berjalan kira-kira 2 kilometer (km) untuk berulang-alik dari hotel penginapan ke masjid. Jarak perjalanan ini bertambah sehingga lebih 7km ketika operasi masyair iaitu jemaah perlu berjalan dari perkhemahan di Mina ke Jamarat untuk menunaikan ibadah melontar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ‘Thoriq Ya Hajj’ menjadi platform bagi bakal haji meningkatkan stamina secara berperingkat, selain membantu mereka membuat persediaan fizikal dan mental bagi menghadapi cabaran sebenar ketika menunaikan ibadah haji.
Mustakim berkata program selama dua bulan itu terbuka secara individu kepada peserta Kursus Asas Haji (KAH) dalam dua kategori umur iaitu 55 tahun ke bawah dan 56 tahun ke atas.
Peserta perlu memuat turun aplikasi Pacer untuk merekod jumlah langkah harian masing-masing sepanjang tempoh pertandingan.
“Ungkapan ‘Thoriq Ya Hajj’ merujuk kepada ungkapan yang sering diucapkan oleh pengawal masjid di Tanah Suci yang bermaksud ‘jalanlah wahai para jemaah’.
“Sebanyak 100 peserta setiap kategori kumpulan umur dengan jumlah langkah terbanyak akan menerima hadiah menarik berupa barangan edisi terhad TH,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustakim berkata TH kini menganjurkan siri KAH di lebih 200 masjid seluruh negara sejak 3 Okt lepas, merangkumi modul fiqah manasik, fardu ain, taharah, solat, fiqah wanita, kesihatan dan pengurusan haji.
“TH sentiasa komited dalam memberikan bimbingan haji terbaik kepada bakal-bakal haji kita. Alhamdulillah, jemaah haji Malaysia sentiasa menerima pujian daripada Kerajaan Arab Saudi dan jemaah haji antarabangsa kerana tahap kefahaman tatacara ibadah haji yang tinggi,” katanya.
Sebanyak 13 siri KAH dijadualkan secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Jawatankuasa Masjid, dan bakal haji boleh menyemak jadual serta mendaftar penyertaan melalui laman sesawang rasmi TH.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial