PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Dokumen berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) kini boleh diakses di laman Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ia boleh diakses di www.miti.gov.my/ART.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata turut disertakan adalah ruangan soalan lazim (FAQ) berkaitan ART, di https://www.miti.gov.my/miti/resources/Media%20Release/FAQs_on_the_Malaysia%E2%80%93US_Agreement_on_Reciprocal_Trade_(ART)_Highlights_Benefits_to_Malaysia_and_Clarifies_Public_Concerns.pdf
“Mesyuarat Jemaah Menteri (hari ini) ada membincangkan tentang ART dan terdapat memorandum Jemaah Menteri yang dibawa dan perkara itu telah diteliti.
“(Jadi) Tidak timbul isu seperti dakwaan dibuat seorang Ahli Parlimen semasa sesi soal jawab Perdana Menteri pada hari Selasa lepas,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Pada 4 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan di Dewan Rakyat bahawa perjanjian itu tidak mengandungi sebarang peruntukan yang bercanggah dengan semangat atau peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai kedudukan penting dalam sebarang perjanjian negara termasuk ART, bagi memastikan ia selaras dengan undang-undang Malaysia.
Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.
Perdana Menteri dalam pada itu memberi jaminan bahawa perjanjian yang ditandatangani, bukan sahaja mempertahankan kepentingan Bumiputera, malah sebarang tindakan penguatkuasaan tidak sesekali boleh membelakangkan undang-undang domestik di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial