KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Platform pengangkutan dan logistik serantau, Transport Expo Asia (TXA) 2025 yang bakal berlangsung dari 11 hingga 13 Nov ini menampilkan lebih 100 syarikat daripada lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, China, Hong Kong, Jerman, Poland, Amerika Syarikat dan Singapura.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini menunjukkan komitmen dan keyakinan antarabangsa terhadap potensi Malaysia sebagai hab mobiliti serantau.
“Kami juga menjangkakan kehadiran lebih 3,000 pelawat perdagangan, 1,000 delegasi persidangan serta 230 tetamu kenamaan dari dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara pempamer utama termasuk ANSA Digital Sdn Bhd, Batik Air Malaysia, CRRC Corporation Limited (CRRC), Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd, East Coast Rail Link (ECRL), Gamuda Berhad, Grab Holdings Inc, Mass Rapid Transit (MRT), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), MMC Port Holdings Sdn Bhd, Railway Assets Corporation (RAC) dan TDA (Technology Depository Agency).
Loke berkata TXA bukan sekadar pameran tetapi platform strategik untuk mempamerkan inovasi, memacu pelaburan dan membentuk hala tuju dasar pengangkutan nasional yang lebih mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Beliau berkata TXA yang berlangsung di sebuah hotel di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) juga bakal menampilkan elemen menarik termasuk demonstrasi Drone Cage oleh Futurise, bas elektrik (EV) oleh eMoovit serta Guided Rapid Transit (GRT) oleh SMH Rail.
Bertemakan Future On The Move: Digital, Sustainable Transport, Agile Logistics & ESG-Driven Supply Chains, Loke berkata ia memberikan tumpuan bagi memperkukuh pendigitalan sistem pengangkutan, kelestarian alam sekitar dan kecekapan logistik yang berasaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Malaysia kini sedang melangkah ke fasa transformasi pengangkutan yang menekankan penggunaan teknologi hijau, elektrifikasi dan automasi pintar. TXA menjadi pentas untuk menunjukkan bagaimana kerajaan, industri dan masyarakat boleh berganding bahu dalam merealisasikan visi mobiliti rendah karbon dan berdaya tahan.
“Dengan kata lain, kami mahu masa depan pengangkutan Malaysia bukan sekadar cekap tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sosial,” katanya.
Loke berkata penganjuran acara itu diharap dapat mencetuskan kerjasama strategik serantau, memperkukuh dasar keselamatan jalan raya serta mempercepatkan transformasi mobiliti digital di Malaysia, selain membuka pintu untuk pelaburan teknologi baharu ke dalam negara.
Beliau berkata hasil perbincangan dan forum TXA akan disalurkan kepada kementerian untuk tindakan dasar lanjutan supaya manfaatnya dapat diterjemahkan kepada projek nyata dan pembangunan kapasiti tempatan.
Dalam pada itu, Loke berkata Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2025 anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan diadakan serentak dengan TXA, sekali gus memberikan mesej sangat penting iaitu inovasi dan keselamatan mesti berjalan seiring.
Beliau berkata TXA memberi fokus kepada aspek teknologi, industri dan pelaburan, manakala RSC memberi tumpuan kepada penyelidikan dasar dan pembudayaan keselamatan jalan raya.
Loke berkata penganjuran kedua-dua acara itu juga menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam pengangkutan hijau dan rendah karbon dengan antara fokus utama adalah penerapan teknologi tenaga boleh diperbaharui, sistem pengurusan tenaga pintar serta amalan ESG dalam logistik dan pengangkutan awam.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan juga akan mempromosikan pelaksanaan Rangka Kerja Peralihan Rendah Karbon yang menyasarkan pengurangan pelepasan karbon melalui penggunaan kenderaan elektrik, rel pintar dan sistem logistik bersepadu.
Loke turut menjemput orang ramai termasuk pelajar, profesional, usahawan dan peminat teknologi untuk hadir dan menyaksikan sendiri teknologi pengangkutan masa depan dengan mereka boleh mendaftar melalui laman rasmi di www.txa.my dan kemasukan adalah percuma.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial