AM > BERITA

Lelaki Warga Asing Ditemukan Maut Dipercayai Dibaham Buaya Di Kuala Tutoh

07/11/2025 09:58 PM

KUCHING, 7 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga India yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Tutoh, Baram di Miri pada Rabu lepas ditemukan meninggal dunia pagi tadi dalam keadaan mayat tidak sempurna.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa dikenali sebagai Prashant, 21, dan kru sebuah kapal yang berlabuh di kawasan hilir Kampung Kuala Tutoh ditemukan pada 9.30 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir dia dikhuatiri lemas.

“Ketika pasukan pencarian menemukan mangsa, seekor buaya dilihat sedang menggigit tangan kiri mangsa. Keseluruhan tangan kiri mangsa hilang disyaki dibaham buaya itu.

“Punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan, sama ada berkaitan dengan serangan buaya atau sebaliknya. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat,” katanya hari ini.

Operasi SAR yang berlangsung selama dua hari dan tamat pada 11 pagi tadi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, menggunakan satu jentera Triton dan sebuah bot aluminium.

Turut serta dalam operasi itu adalah Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. 

Pada Rabu lepas, media melaporkan pihak JPBM Sarawak menerima makluman berhubung kehilangan mangsa daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi selepas mangsa dipercayai lemas ketika mandi di sungai berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan