AM > BERITA

PTJSD Mampu Pendekkan Masa Perjalanan Sejam Kepada 20 Minit - Nanta

08/11/2025 01:14 PM

BUKIT MERTAJAM, 8 Nov (Bernama) -- Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dengan Plaza Tol Sungai Dua, di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan kawasan sekitar (PTJSD) yang bernilai RM3 bilion dijangka dapat memendekkan masa perjalanan daripada satu jam kepada 20 minit semasa waktu puncak.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek itu juga dapat mengurangkan kesesakan trafik dengan 30 peratus pengguna akan beralih ke laluan terus Juru–Sungai Dua yang disediakan dan meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta penjimatan masa perjalanan pengguna setiap hari.

Beliau berkata keseluruhan projek itu dilaksanakan menerusi pembiayaan secara hibrid, iaitu 60 peratus daripada kerajaan melalui perbelanjaan pembangunan, manakala 40 peratus daripada syarikat dengan tempoh pembinaannya selama 48 bulan serta sasaran siap sepenuhnya pada pertengahan 2030.

"Kementerian Kerja Raya (KKR) memberikan jaminan bahawa Pelan Pengurusan Trafik yang teliti akan dilaksanakan sepanjang pembinaan supaya gangguan kepada pengguna dapat diminimumkan dan kesan positif akan diterima lebih 200,000 pengguna yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

"Projek itu panjangnya 17.3 kilometer, merentasi tiga daerah utama, iaitu Seberang Perai Selatan, Tengah dan Utara. Projek ini ialah inisiatif penting Kerajaan MADANI sebagai usaha menyeluruh untuk mengurangkan kesesakan, mempertingkatkan kecekapan laluan dan paling utama adalah untuk memudahkan kehidupan rakyat," katanya semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah PTJSD di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Nanta berkata berdasarkan kajian KKR, terdapat lima sebab utama kesesakan di laluan berkenaan, iaitu limpahan trafik dari Juru ke Jambatan Pulau Pinang disebabkan konflik penggabungan di persimpangan bertingkat Perai dan kedua, iaitu pertembungan trafik dari Jambatan Pulau Pinang menuju ke Juru, yang menambah kesesakan di Seberang Jaya.

Beliau berkata sebab lain ialah trafik tempatan di Seberang Jaya bercampur dengan trafik ke utara Semenanjung, laluan menjadi sesak dengan limpahan kenderaan di kawasan Juru Autocity selain kesesakan di bulatan Persimpangan Timur Barat ke arah Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE).

"Semua faktor itu apabila digabungkan, menjadikan jajaran tersebut antara kawasan paling sibuk dan mencabar di utara tanah air dan atas dasar inilah, Kerajaan MADANI melalui KKR mengambil langkah berani dan strategik untuk melaksanakan  PTJSD," katanya.

Beliau berkata dari segi teknikal, projek itu mengandungi komponen pembinaan utama, iaitu pembinaan laluan terus dari Plaza Tol Juru ke Plaza Tol Sungai Dua, menaik taraf Persimpangan Juru Utara (Auto City) dengan menyediakan pusingan-U bertingkat dan membina jalan susur baharu dari Perai ke Juru.

Selain itu, Nanta berkata projek terbabit juga melibatkan naik taraf Persimpangan Timur–Barat untuk mengurangkan masa menunggu lampu isyarat dan membina jalan susur bertingkat baharu di Jalan Tun Hussein Onn.

Katanya, pelaksanaan projek itu telah diamanahkan kepada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebagai pelaksana utama dengan KKR, dan PLUS akan menggunakan kaedah Bina-Kendali-Pindah yang bukan sahaja mempercepat pelaksanaan, malah turut membantu mengurangkan beban kewangan kepada kerajaan Persekutuan.

"KKR dan PLUS akan memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual bagi mengekang sebarang ketirisan dan pembaziran sumber dan di sinilah peranan profesion teknikal kita amat penting, kita perlu mengaplikasikan teknologi moden dalam pengurusan projek yang berkesan setanding dengan piawaian antarabangsa," katanya.

Dari segi reka bentuk PTJSD, beliau berkata pihaknya menggunakan pelbagai teknologi terbaharu dan moden termasuk kecerdasan buatan (AI) serta dalam pembinaan pula Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) supaya apabila siap dibina nanti projek ini akan memberikan hasil yang terbaik kepada rakyat.

Sementara itu, KKR dalam kenyataan memaklumkan projek berkenaan merupakan antara inisiatif strategik berimpak tinggi Kerajaan MADANI bagi menangani isu kesesakan trafik dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara, khususnya di utara Semenanjung Malaysia.

KKR memaklumkan masalah kesesakan trafik di antara Plaza Tol Juru dengan Plaza Tol Sungai Dua telah berlarutan bertahun-tahun lamanya akibat pertambahan jumlah kenderaan yang ketara dan keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya, malah turut memberikan kesan kepada aktiviti ekonomi setempat termasuk di kawasan Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Perai.

"Cadangan projek itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Dis 2024 susulan pelaksanaan kajian analisis trafik oleh KKR dan Plaza Tol Sungai Dua merupakan pintu masuk utama ke Pulau Pinang dari arah utara serta sering mengalami kesesakan semasa waktu puncak," menurut kenyataan itu.

PTJSD juga menyokong agenda pembangunan seimbang wilayah Utara serta memperkukuh rangkaian logistik nasional, selain dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi di Seberang Perai, Kepala Batas dan utara Pulau Pinang serta menyediakan peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan