BUTTERWORTH, 8 Nov (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan insiden melibatkan sebuah set tren Komuter enam gerabak (SCS03) terlajak ke hujung landasan di Platform 4, Stesen Butterworth di sini hari ini.
Menurut kenyataan KTMB, tren itu set kosong tanpa penumpang dan sedang dalam pergerakan operasi harian serta tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 6.01 pagi itu.
"Pasukan teknikal KTMB telah tiba di lokasi sejurus selepas kejadian dan kerja-kerja pengalihan set tren sedang giat dijalankan bagi memastikan keselamatan kawasan serta kelancaran operasi di stesen.
"Para penumpang di Stesen Butterworth dinasihatkan untuk mematuhi segala arahan keselamatan yang diberikan oleh petugas stesen bagi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan semua pihak," menurut kenyataan itu hari ini.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
KTMB memberi jaminan bahawa keselamatan operasi dan pengguna sentiasa menjadi keutamaan pihaknya dan segala langkah sedang diambil bagi memastikan perkhidmatan tren terus berjalan lancar seperti biasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial